Saturday, 24 September 2011

Tiz Zaqyah Cabar Joeza Rasidi



Bagaikan dihanyutkan di dalam lautan yang tiada penghujung, tergapai-gapai si gadis mencari arah tuju hidupnya. Nekad untuk bangkit semula daripada sejarah hitam yang menghancurkan impian dan masa depannya, si gadis enggan lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah ke hadapan.

Begitulah kitaran nasib si gadis malang yang bernama Soffiya, lakonan hebat Tiz Zaqyah dalam drama bersiri terbaru Soffiya, selepas berakhirnya drama bersiri Kasih Alia di slot Akasia.

Drama bersiri 28 episod ini diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd, diarahkan oleh sutradara Joeza Rasidi dengan nukilan skrip oleh Eenaz Mokhtar dan Tommy CT Loh.

Menurut Joeza, peluang bekerjasama dengan aktres berbakat besar seperti Tiz memberi cabaran tersendiri kepadanya kerana umum mengetahui, Tiz begitu sinonim dengan watak Nur Aminah.

Justeru, apabila Tiz yang membawakan watak utama sebagai Soffiya, Joeza seboleh-bolehnya mahu penonton melihat kesedihan Tiz sebagai Soffiya, bukan Nur Aminah.

“Tiz sangat sinonim dengan drama Nur Kasih dan mempunyai ramai peminat setia sebagai Nur Aminah. Kadangkala saya dapat lihat, orang masih menyamakan Tiz dengan Nur Aminah.

“Tapi saya berbangga kerana Tiz seorang pelakon yang sangat berbakat dan mudah menerima serta memberi seperti apa yang saya mahukan. Justeru, saya berharap peminat akan dapat menerima lakonan Tiz kerana dia membawa watak yang sangat berlainan dari sebelum ini,” katanya.

Joeza berkata, cabaran lain untuk mengarahkan drama ini adalah untuk menyampaikan plot penceritaan yang sensitif seperti babak rogol dan bunuh supaya ia tidak kelihatan keterlaluan kepada penonton.

“Saya mahu memprovokasi dan menyogok penonton dengan penderitaan Soffiya tetapi saya tidak mahu tunjukkan secara terang-terangan kerana tidak mahu membawa contoh yang tidak baik.

“Drama ini lain daripada yang lain kerana ia menceritakan penderitaan Soffiya satu persatu dan bagaimana Sofiyya melalui sejarah hitam yang penuh konflik sehingga ditahan di pusat juvana,” katanya yang begitu bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon lain yang sangat berbakat.

Tambahnya, sehingga kini baru 16 episod selesai menjalani penggambaran dan dijangka tamat dalam dua bulan lagi.

“Kami menjalani penggambaran di sekitar Shah Alam, Damansara, Kuang, Pangsun, dan sekitar Lembah Klang. Saya berharap penggambaran ini dapat diselesaikan mengikut jadual,” katanya.

Drama ini mengisahkan tentang Soffiya, seorang gadis lincah dan periang yang tinggal di sebuah kampung bersama bapanya, Sulaiman seorang doktor dan ibunya, Aishah, yang sering menghadapi masalah kesihatan.

Selepas satu kejadian hitam, rutin kehidupan Soffiya mula berubah, termasuklah sikapnya yang lebih suka menyendiri dan sering kelihatan murung.

Nasib buruk terus menghantui Soffiya ke mana sahaja dia pergi hinggalah dirinya meringkuk di penjara. Baru mula mengenal erti cinta, namun, Soffiya terpaksa merelakan pemergian kekasihnya ke luar negeri.

Setelah berkahwin dengan seorang jutawan yang penyayang, ketabahan Soffiya sekali lagi diuji apabila cinta pertamanya merupakan menantu kepada anak tirinya sendiri. Bagaimanakah Soffiya mengharungi konflik demi konflik yang melanda dirinya?

Selain Tiz turut menjayakan drama ini, Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Izara Aishah, Syazwan Zulkifli, Hilal Azman dan Aisyah Atan.

Drama bersiri Soffiya bersiaran bermula 21 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment