Saturday, 24 September 2011

Linda Berbasikal Untuk Kesihatan


Linda memberi aksi menarik sebelum mengayuh basikal.

BEGITU berhati-hati sekali pelakon Linda Hashim mengeluarkan basikalnya dari kereta dan kemudian memasang tayar sebelum memulakan kayuhan di sekitar Tasik Titiwangsa untuk sesi foto S3, baru-baru ini.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 27, berkata, sudah lama dia tidak berbasikal kerana sibuk di lokasi, namun atas permintaan S3, pelakon utama drama bersiri Tudung Ekspress itu sanggup turun padang.
“Dulu Linda memang aktif berbasikal dengan kawan-kawan dari kumpulan berbasikal. Sekarang ini, Linda berbasikal di sekitar kawasan rumah sahaja sebab kesuntukan masa.
“Walaupun sibuk, Linda perlu berbasikal untuk satu atau dua jam kerana ia salah satu cara untuk mengeluarkan peluh,” katanya yang mula jatuh hati dengan sukan berbasikal sejak dua tahun lalu.
Menurut Linda, pada mulanya, dia hanya ikut rakan-rakannya berbasikal dan tidak sangka sukan itu menarik minatnya dan terus membeli basikal mountain bike.
Menariknya kata anak kedua daripada tiga beradik itu, pertama kali dia mengikut rakan-rakannya berbasikal secara berkumpulan di Putrajaya pada waktu malam.
“Linda memang teruja bila berada bersama kumpulan basikal yang terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang tanpa mengira bangsa. Semua yang berkumpul itu tidak mengenali antara satu sama lain, hanya diberitahu menerusi laman web.
“Pertama kali ikuti rombongan berbasikal sejauh 25 kilometer itu, memang penat tapi seronok. Aktiviti itu bukan sahaja baik untuk kesihatan malah ia mengajar kita untuk bekerjasama dan bersabar. Sekarang ini nak sertai aktiviti yang dilakukan sebulan sekali pun susah sebab Linda sibuk,” katanya.
Penggemar pakaian jenama Fox itu berkata, sewaktu aktif berbasikal dia dapat merasakan perubahan pada lengannya yang kelihatan berotot.
Dek penangan sukan berbasikal, sekarang ini jika ternampak kedai menjual basikal, Linda pasti singgah untuk melihat produk terbaru.
“Sekarang ini, Linda sibuk menjalani penggambaran drama Cut Amirah sebanyak 26 episod, terbitan Media Corp dan AMC. Penggambaran dilakukan di Singapura.
“Jadi sesekali bila ada waktu lapang, Linda akan menjenguk ke kedai basikal di sana. Linda boleh habiskan masa satu atau dua jam di kedai itu sebab teruja tengok aksesori basikal. Basikal yang Linda guna ini pun sudah diubahsuai. Macam orang ubahsuai motosikal atau kereta,” terangnya.
Pemegang watak Toh Puan Norashikin Mohd. Seth dalam filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, sejak sibuk dengan penggambaran drama dan
filem, dia amat merindui basikal jenama Jammis yang sudah lama dibiar tersadai di rumah.

Teman Baru Izzue Islam


ANTARA aksi Izzue Islam bermain skuter.

Pada pandangan orang dewasa, mungkin permainan beroda ini agak asing, namun bagi remaja moden kini, skuter mula menggamit minat ramai untuk memilikinya.
Bagi pengacara, pelakon dan penyanyi ini, skuter adalah 'teman' baru yang sentiasa menemaninya tatkala mempunyai aktiviti lapang.
"Skuter ini bukanlah milik saya tetapi dipinjam daripada kawan saya yang memperkenalkan permainan ini kepada saya.
"Pada mulanya, saya hanya memerhatikan sepupu bermain skuter. Lama-kelamaan, saya rasa teruja lalu meminta kebenaran untuk mencubanya.
"Setelah mencubanya beberapa kali, timbul perasaan seronok bermainnya dan berhasrat untuk membelinya tidak lama lagi.
"Buat masa ini, saya sibuk dengan penggambaran drama Cikaro, Amanah Tuan Besar dan persembahan nyanyian dengan kumpulan Forteen.
"Jadi, belum ada masa lagi untuk pergi mencari dan membelinya," kata Izzue yang popular menerusi lagu Berdua Bersatu, nyanyian bersama kumpulan Forteen.
Tambah Izzue, permainan skuter itu bertambah seronok jika bermain secara berkumpulan kerana lebih happening.
"Apabila ada beberapa pemain lain, kita boleh bersaing sesama sendiri dan boleh mempertingkatkan kemahiran masing-masing untuk mengendalikan skuter ini.
"Bermacam-macam skil boleh dipraktikkan dan semua skil-skil itu saya belajar sendiri," katanya.
Pada masa yang sama, Izzue yang juga artis naungan KRU Studios itu kini mengorak langkah untuk mencuba bidang pengacaraan apabila sedikit demi sedikit menimba pengalaman menerusi program Paparazzi yang disiarkan di TV online, KRU TV.

Wanita Mualaf Ubah Nana


NANA harap perubahannya membawa kebaikan pada diri.

KALAU wanita mualaf boleh berubah dan memakai pakaian menutup aurat, kenapa tidak dirinya yang sememangnya dilahirkan sebagai Islam sejak 28 tahun lalu.
Itulah persoalan yang bermain di minda penyanyi Siti Nordiana Alias ketika membaca artikel berkaitan Islam dalam sebuah majalah pada bulan puasa yang lalu.
Sejak itulah, Siti Nordiana atau Nana tergerak hati untuk mengubah penampilan dirinya menjadi wanita muslimah dengan mengenakan tudung dan mengelak daripada berpakaian seksi.
“Selama ini Nana leka dan tidak mempraktik cara pemakaian wanita Muslimah yang sebenar. Sepatutnya, sudah lama Nana berubah. Apa pun Nana bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati Nana ke arah yang lebih baik.
“Apa yang Nana lakukan ini bukan dipinta oleh sesiapa atau ingin meniru sesiapa, tapi semua atas kehendak diri sendiri. Nana ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri sendiri,” katanya terus terang.
Sebelum mendengar penjelasan Nana yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk kesihatan di Shah Alam baru-baru ini, S3 tertanya-tanya adakah penampilannya begitu hanya untuk hari itu sahaja.
Bagaimanapun selepas mendengar penjelasan Nana, ternyata dia bukan main-main untuk berubah tapi hijrah yang dilakukan atas dasar kesedaran dan ikhlas kerana tuntutan agama.
“Bukan fesyen terkini daripada Nana atau pakaian rasmi untuk majlis ini. Ini akan menjadi pakaian rasmi Nana di masa akan datang kerana Nana sudah berubah. Sebenarnya sudah lama Nana berniat untuk memakai tudung, tapi baru-baru ini sahaja Nana mampu melakukannya,” katanya.
Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, biarpun cara pemakaiannya berubah namun dia tetap Siti Nordiana yang sama dan akan terus aktif menyanyi.
Menyedari perubahan imejnya bakal memberi impak pada kerjaya, Nana berkata, dia tidak akan beralih genre lagu mengikut penampilan diri tetapi meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu duet Paling Comel bersama arwah Achik Spin itu berkata, sejajar dengan perubahan imej, dia akan memastikan lagu-lagu dendangannya kelak bersesuaian dengan penampilan.
“Untuk tukar genre pop kepada nasyid tidaklah... tapi mungkin pihak rakaman ada perancangan baru. Apa pun Nana bersedia menerima sebarang perubahan, baik daripada pihak rakaman atau peminat.
“Apa pun Nana percaya, peminat sekarang lebih terbuka. Mereka meminati seseorang artis itu kerana bakat dan bukan kerana penampilan diri. Selagi Nana memberikan persembahan terbaik, Nana yakin akan mendapat sokongan daripada mereka,” katanya yang kelihatan anggun mengenakan busana Koleksi Najjah.
Nana yang sibuk mempromosi single kedua, Semakin Jelas berkata, jika perubahannya itu tidak membantu perkembangan kerjaya, dia reda dengan segala dugaan.
Selain itu, Nana juga berkata, dia sekarang dalam proses mendalami ilmu keagamaan untuk memperbaiki kekurangan diri.

Hugh Jackman Tetap Wolverine



Hugh Jackman


DIA sememangnya merupakan pilihan paling tepat dalam membawakan watak adi wira ciptaan Marvel Comics, Wolverine.
Sehingga kini, Hugh Jackman sudah empat kali membawakan watak tersebut dalam empat filem berbeza. Memang tidak dinafikan juga, watak itu jugalah yang telah melonjakkan namanya sebagai pelakon lelaki popular.
Namun, ada perkhabaran yang mengatakan bahawa Jackman tidak akan kembali memegang watak tersebut dalam filem sekuel X-Men Origins: Wolverine lantaran kesibukannya sebagai seorang aktor.
Sehinggakan, pihak penerbit iaitu 20th Century Fox sudah bersedia untuk mencari aktor lain bagi menggantikan tempat Jackman.
Semuanya gara-gara mereka sendiri sudah tidak boleh lagi untuk kerap menangguhkan projek filem tersebut dan menunggu tarikh baru daripada Jackman.
Tetapi, bagi Jackman, dia menafikan perkara tersebut dan memberitahu filem sekuel itu tetap akan dijalankan walaupun pengarahnya, Darren Aronofsky sudah menarik diri.
"Semuanya masih lagi berjalan dengan baik dan skripnya juga sudah hampir siap. Kalau ditanya kepada saya, memang saya tetap mahukan Aronofsky mengarahkan filem ini.
"Memandangkan dia sibuk dengan projek lain, maka mahu atau tidak filem sekuel ini akan tetap diteruskan dan penggambarannya dijangka pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.
"Apa yang boleh saya katakan, projek filem sekuel yang menggunakan judul sementara The Wolverine ini hanya akan dijalankan selepas saya menamatkan penggambaran filem terbaru saya, Les Miserables," kata Jackman dalam satu temu bual baru-baru ini.
Filem versi baru Les Miserables yang diarahkan oleh Tom Hopper itu menyaksikan Jackman berlakon di samping Russell Crowe.
Sementara itu, filem terbaru lakonannya, Real Steel akan ditayangkan tidak lama lagi.

Michelle Berangan Berhenti Berlakon




LOS ANGELES - Nama Michelle Williams (gambar) semakin meniti di bibir peminat-peminat industri hiburan atas kecemerlangannya, tetapi dia menyatakan lebih berminat untuk menjadi pencuci kain untuk meneruskan hidupnya satu hari nanti.
Dalam sesi temu bual bersama majalah Hobo baru-baru ini, pelakon filem My Week With Marilyn itu mengaku dia semakin penat dengan suasana Hollywood.
"Saya sering berangan untuk berhenti berlakon dan bekerja sebagai tukang cuci kain atau pembantu tukang masak, mahupun penulis surat cinta kepada orang lain untuk meneruskan hidup.
"Namun yang jelas, saya tidak suka menjadi ketua dan berfikir untuk berhenti berlakon hanyalah umpama menipu diri sendiri.
"Apabila kita merasakan kita ada pilihan, semuanya nampak seperti masih di bawah kawalan tetapi jika ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia menjadi serba tidak kena.
"Bagi saya, apabila kita semakin baik dalam sesuatu perkara, ia akan berlalu pergi dari hidup kita dan sebab itulah saya membayangkan saya ada pilihan lain," katanya.
Walaupun dalam realitinya, dia belum lagi merancang untuk meninggalkan dunia hiburan, namun Williams yang kini menjalani pengambaran filem Oz: The Great and Powerful bersama Mila Kunis berkata, dia bersedia menempuh cabaran seterusnya.

Nana Bertudung Bukan Kerana Si Dia




Sudah lumrah menjadi anak seni, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Siti Nordiana. Sejak awal pembabitannya dalam industri nyanyian ini, banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi.

Kisah percintaan, perkahwinan hinggalah perceraiannya menjadi bualan ramai. Tidak pernah mengeluh apa lagi melarikan diri daripada kontroversi itu, penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini sentiasa belajar untuk memperbetulkan dirinya.

Dengan imej terbarunya, Nana dilihat lebih matang menyusuri kehidupannya. Sama seperti dua rakannya Irma Hasmie dan Raja Farah mengambil keputusan untuk bertudung, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran ini merasakan sudah tiba baginya melakukan sesuatu untuk dirinya.

Mengakui imej yang dilakukan mendapat perhatian ramai apabila kisah penghijrahannya semakin banyak tersiar di dada akhbar, Nana tidak dapat lari apabila ada pihak mendakwa perubahannya adalah kerana paksaan mahupun dorongan seseorang.

Semangat Nana untuk kekal bertudung nampaknya bertambah kuat walaupun sebelum itu dilemparkan dengan kontroversi pakaian seksinya.

“Perubahan ini bukan disebabkan orang lain. Saya ada dengar orang kata saya berubah kerana seorang lelaki yang baru saya kenal. Saya tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya ikhlas dengan perubahan saya ini. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa,” katanya kepada Zass.

Dengan nada kecewa, Nana berharap isu tudung ini tidak dipanjangkan. Tambahan pula, ia bukanlah perkara negatif malah berharap dia dapat sokongan daripada peminat dan akan terus berusaha untuk mengecap kejayaan dalam kerjaya seninya.


Keluarga beri sokongan

Tambahnya lagi, keluarga antara yang banyak memberi sokongan selepas penyanyi ini nekad untuk tampil dengan imej Muslimah.

“Saya bersyukur kerana saya dikelilingi insan yang benar-benar memahami saya. Ibu dan keluarga lain turut membantu saya mencari pakaian Muslimah yang sesuai untuk saya.

“Maklum sahaja, saya masih baru dan perlu tunjuk ajar daripada mereka. Tidak bolehlah tangkap muat sahaja. Setiap penampilan saya perlulah dijaga.

Menurut penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, dia rasa seronok kerana mereka sekeluarga dapat berkongsi cita rasa tersendiri dan baru kini dia sedar bahawa perasaan berubah kerana keikhlasan hati itu lebih indah.

“Malah, saya juga bersyukur apabila perubahan imej ini mendapat respons baik daripada pihak pengurusan. Saya yakin karier saya tidak akan terganggu dengan perubahan ini,” katanya yang kini semakin tenang dan selesa dengan imej itu.

Tambahnya, penampilan barunya itu setakat ini tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti hariannya, malah semakin banyak menerima undangan persembahan .


Sedia menamatkan zaman solo 
Dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang usahawan, Nana tidak berselindung mengenai perkara itu, namun berharap cerita itu tidak terus disensasikan.

“Saya memang mengenali lelaki yang dimaksudkan. Kami sudah kenal hampir setahun. Pada awalnya, dia tidak tahu saya seorang penyanyi. Dia tahu kerjaya saya daripada kawan-kawan saya.

“Hubungan kami masih lagi di peringkat awal. Masih mengenali hati budi masing-masing dan belum ada bibit-bibit cinta seperti yang diperkatakan. Saya senang berkawan dengan dia. Namun, untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini, tidak ada lagi dalam diari hidup saya. Saya perlukan masa kerana saya ada anak yang perlu dibesarkan. Jadi keputusan untuk berkahwin perlu saya fikirkan semasak-masaknya,” katanya lagi.

Katanya, temannya lelakinya itu tidak pernah memaksanya untuk memakai tudung dan menerima dirinya seadanya.

“Saya tidak ada berbincang dengan sesiapa mengenai hal ini. Dia sendiri terkejut melihat perubahan saya, namun menerimanya dengan hati terbuka.

“Seperti saya katakan, perubahan ini datang daripada diri saya sendiri dan tidak perlu saya meminta pandangan orang lain apatah lagi ini perkara baik,” katanya.

Malah, ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, ini tidak menolak jika ditakdirkan mendirikan rumah tangga sekali lagi memandangkan semua itu adalah ketentuan.


Cuba bidang lain

Biarpun kasih sayangnya kuat pada bidang nyanyian, namun Nana akan mencuba cabang seni yang lain kerana baginya sebagai artis, tidak boleh berharap pada satu-satu bidang sahaja.

“Buat masa ini, syarikat rakaman saya iaitu FMC Music Sdn Bhd sedang mencari lagu baru yang sesuai dengan saya. Saya juga berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada semua peminat saya.

“Saya akan terus menyanyi kerana ia minat dan keutamaan saya. Tapi, jika ditakdirkan saya gagal dalam percubaan ini, saya tidak akan mengalah. Saya juga tidak menolak sekiranya tawaran sebagai pelakon diberikan kepada saya.

“Saya akui, saya masih baru dan tidak banyak pengalaman sebagai pelakon. Saya percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan, saya boleh jadi seorang pelakon yang baik,” katanya penuh yakin mengenai peminat sekarang semakin bijak dan bersikap terbuka serta boleh menerima artis bertudung.

Walaupun begitu, kerjayanya sebagai penyanyi masih berjalan seperti biasa. Buktinya, kini Nana sibuk dengan siri jelajah anjuran Fablous Global bermula Oktober ini.

Tiz Zaqyah Cabar Joeza Rasidi



Bagaikan dihanyutkan di dalam lautan yang tiada penghujung, tergapai-gapai si gadis mencari arah tuju hidupnya. Nekad untuk bangkit semula daripada sejarah hitam yang menghancurkan impian dan masa depannya, si gadis enggan lagi menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah ke hadapan.

Begitulah kitaran nasib si gadis malang yang bernama Soffiya, lakonan hebat Tiz Zaqyah dalam drama bersiri terbaru Soffiya, selepas berakhirnya drama bersiri Kasih Alia di slot Akasia.

Drama bersiri 28 episod ini diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd, diarahkan oleh sutradara Joeza Rasidi dengan nukilan skrip oleh Eenaz Mokhtar dan Tommy CT Loh.

Menurut Joeza, peluang bekerjasama dengan aktres berbakat besar seperti Tiz memberi cabaran tersendiri kepadanya kerana umum mengetahui, Tiz begitu sinonim dengan watak Nur Aminah.

Justeru, apabila Tiz yang membawakan watak utama sebagai Soffiya, Joeza seboleh-bolehnya mahu penonton melihat kesedihan Tiz sebagai Soffiya, bukan Nur Aminah.

“Tiz sangat sinonim dengan drama Nur Kasih dan mempunyai ramai peminat setia sebagai Nur Aminah. Kadangkala saya dapat lihat, orang masih menyamakan Tiz dengan Nur Aminah.

“Tapi saya berbangga kerana Tiz seorang pelakon yang sangat berbakat dan mudah menerima serta memberi seperti apa yang saya mahukan. Justeru, saya berharap peminat akan dapat menerima lakonan Tiz kerana dia membawa watak yang sangat berlainan dari sebelum ini,” katanya.

Joeza berkata, cabaran lain untuk mengarahkan drama ini adalah untuk menyampaikan plot penceritaan yang sensitif seperti babak rogol dan bunuh supaya ia tidak kelihatan keterlaluan kepada penonton.

“Saya mahu memprovokasi dan menyogok penonton dengan penderitaan Soffiya tetapi saya tidak mahu tunjukkan secara terang-terangan kerana tidak mahu membawa contoh yang tidak baik.

“Drama ini lain daripada yang lain kerana ia menceritakan penderitaan Soffiya satu persatu dan bagaimana Sofiyya melalui sejarah hitam yang penuh konflik sehingga ditahan di pusat juvana,” katanya yang begitu bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon lain yang sangat berbakat.

Tambahnya, sehingga kini baru 16 episod selesai menjalani penggambaran dan dijangka tamat dalam dua bulan lagi.

“Kami menjalani penggambaran di sekitar Shah Alam, Damansara, Kuang, Pangsun, dan sekitar Lembah Klang. Saya berharap penggambaran ini dapat diselesaikan mengikut jadual,” katanya.

Drama ini mengisahkan tentang Soffiya, seorang gadis lincah dan periang yang tinggal di sebuah kampung bersama bapanya, Sulaiman seorang doktor dan ibunya, Aishah, yang sering menghadapi masalah kesihatan.

Selepas satu kejadian hitam, rutin kehidupan Soffiya mula berubah, termasuklah sikapnya yang lebih suka menyendiri dan sering kelihatan murung.

Nasib buruk terus menghantui Soffiya ke mana sahaja dia pergi hinggalah dirinya meringkuk di penjara. Baru mula mengenal erti cinta, namun, Soffiya terpaksa merelakan pemergian kekasihnya ke luar negeri.

Setelah berkahwin dengan seorang jutawan yang penyayang, ketabahan Soffiya sekali lagi diuji apabila cinta pertamanya merupakan menantu kepada anak tirinya sendiri. Bagaimanakah Soffiya mengharungi konflik demi konflik yang melanda dirinya?

Selain Tiz turut menjayakan drama ini, Fizo Omar, Azhar Sulaiman, Izara Aishah, Syazwan Zulkifli, Hilal Azman dan Aisyah Atan.

Drama bersiri Soffiya bersiaran bermula 21 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam di TV3.

Lakaran ERAThon Dalam Malaysia Book Of Records




SELAMA 48 jam menjelajah 11 buah negeri sejauh 1,800 kilometer merupakan rekod pertama stesen radio Era FM mengukir nama dalam Malaysia Book Of Records.
Menerusi rekod Rombongan Jelajah Paling Jauh Oleh Sebuah Stesen Radio Dalam Masa 48 Jam itu, program riuh raya ERAthon anjuran Era FM dan Honda Malaysia sempena Aidilfitri telah memulakan penjelajahan berhari raya di kediaman pendengar-pendengar bertuah bermula 3 dan 4 September lalu.
Perjalanan yang bermula dari Pulai Springs Resort, Johor Bahru yang diikuti Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu juga tidak ketiggalan untuk mengunjungi rumah-rumah pendengar setia Era FM di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanan program itu juga, 19 orang penyampai dan krew berkonvoi dalam 5 buah kenderaan Honda diiringi pasukan bermotosikal Enduro Malaysian Chapter (EMC).
Menurut pengurus rancangan Era FM, Nazri Noran, sambutan menggalakkan diperoleh daripada pendengar yang menghantar penyertaan atau jemputan melalui laman web www.era.fm.
“Kami juga teruja kerana diberikan peluang untuk menyahut cabaran Malaysia Book Of Records yang tidak datang selalu, namun yang paling penting pengalaman mendekatkan diri dengan pendengar di seluruh tanah air cukup bermakna dan berharga,” katanya yang ditemui ketika majlis menyambut ketibaan rombongan konvoi di Astro Bukit Jalil baru-baru ini.
Menerusi program itu, pendengar yang menyatakan undangan paling kreatif dan unik akan dihubungi oleh penyampai melalui telefon dan perlu dijawab dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Era!’ untuk mengesahkan kehadiran stesen radio itu ke rumah mereka.
Dalam pada itu, peluang terbuka kepada pendengar menerima kunjungan istimewa kerana perjalanan telah disambung lagi pada 17 dan 18 September ini.
Pada 24 September pula (hari ini), penutup tirai Riuh Raya Era FM akan diadakan pula rumah terbuka Era untuk meraikan pendengar terpilih dan penghargaan atas kesudian menerima kunjungan Era FM ke majlis masing-masing.
Pak Nil tidak sempat berehat
Berkongsi keriangan berhari raya bersama pendengar setia Era FM, penyampai radio terkenal, Aznil Haji Nawawi, 49, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Nil terharu dengan persiapan luar biasa menyambut kedatangan krew ERAthon.
“Paling menyentuh hati apabila ada antara keluarga di beberapa buah lokasi menganggap saya seperti keluarga mereka sendiri sehingga memanggil saya anak, menangis saya dibuatnya,” katanya yang tidak menyangka sambutan hangat hampir sekampung meraikan kedatangan peserta konvoi.
Pak Nil yang kini sedang sibuk menjalani sesi latihan akhir Secret Life Of Nora mengakui tidak mendapat cuti rehat sempena Hari Raya Aidilfitri dan masih mencabar dirinya untuk kekal aktif biarpun usia kian meningkat.
“Kesibukan saya mengalahkan remaja walau pada usia begini, biar apa orang nak kata saya mencabar diri sendiri untuk mencipta rekod peribadi saya,” katanya yang tidak akan sesekali beralih arah daripada karier sebagai penyampai radio.
Seronok luar biasa Dina, Adi Fashla
Bagi Dina atau Faradina Mohd. Nadzir, 26, pula yang kini sudah tiga tahun bersama stesen radio berkenaan, ERAthon tidak sesekali berbangga dengan semangat sepasukan yang ditonjolkan setiap krew yang terlibat.
“Sejujurnya program ini berteraskan semangat sepasukan, fokus dan setiap orang membantu satu sama lain untuk menjayakan konvoi dari lokasi ke lokasi,” ujarnya yang pertama kali merasa nasi dagang paling sedap di rumah pendengar di Kelantan.
Bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama itu juga kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Hello arahan A.R Badul dan Jiwa Kacau yang mendukung watak seorang jururawat di sebuah hospital sakit jiwa.
Tidak menjangka berjaya mencipta rekod dalam program ERAthon, bicara penyampai radio kelahiran Tanjung Karang, Selangor, Adi Fashla Juraimi, 33, bertindan tarikh yang sama dengan majlis resepsi perkahwinan abangnya dengan program ERAthon tidak menjadi hal buatnya.
“Mujur keluarga saya semuanya faham dengan tanggungjawab saya, Insya-Allah majlis seterusnya di Kuala Selangor akan saya hadiri,” tuturnya yang peroleh banyak detik manis sepanjang rombongan menjelajah rumah pendengar setia Era FM termasuk dapat merasa hidangan piza bersama buah durian.

Tawau Diserang Rockers



DARI KIRI: Pengarah Urusan Nova, Rosmin, Bandi Amuk, Mus, Asheed, Pegawai Eksekutif Mustwin Venture Sdn. Bhd., Jeffry dan pengawal rancangan Muzik FM, Saiful Arini.


SELEPAS kejayaan konsert kumpulan rock legenda Lefthanded dan May serta Mega dan Fotograf, yang diadakan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur tidak lama dulu, kali ini Nova Music (M) Sdn Bhd dengan usahasama Mustwin Venture Sdn Bhd sekali lagi ingin mengulang sejarah rock tersebut.
Konsert Lagenda Rock bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau, Sabah yang menampilkan barisan-barisan artis rock legenda seperti Ella, Mus (May), Bandi (Amuk) dan Asheed (DEF-GAB-C) pada 1 Oktober ini.
Konsert itu dijangka akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat-peminat muzik rock yang berada bukan sahaja di kawasan Tawau, tetapi juga di bandar dan daerah berdekatan seperti Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan yang juga dapat menampung seramai 20,000 penonton sekali gus.
"Tawau dipilih sebagai lokasi pertama anjuran bersama kami ini kerana ia dikenal pasti mempunyai golongan peminat muzik rock yang cukup ramai. Kali terakhir konsert rock diadakan di sana telah menarik ramai penduduk di sekitar daerah Tawau yang membanjiri kompleks tersebut.
"Kedudukan Tawau yang agak terpencil membuatkan jarang konsert seperti ini diadakan. Jadi, penduduk Tawau dan sekitarnya sentiasa teruja untuk menyaksikan konsert-konsert artis terutamanya rock yang dijalankan di daerah mereka," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mustwin Venture Sdn Bhd, Datuk Mohd. Jeffry Rosman.
Tambahnya lagi, keputusan mengambil empat orang legenda rock, Ella, Mus, Bandi dan Asheed adalah daripada hasil kajian dan pemantauan yang dilakukan dan mendapati mereka amat popular di daerah tersebut.
Kemunculan ratu rock, Ella juga amat dinantikan penduduk Tawau kerana sebahagian besar peminat rock di sana belum berpeluang menyaksikan persembahan Ella secara dekat. Namun, peminat di sana masih teruja untuk menyaksikan konsert ini di dalam skala yang lebih besar.
DARI kiri: Bandi Amuk, Mus dan Asheed sudah bersedia untuk menggegarkan Tawau, Sabah pada 1 Oktober ini.


Bagi Bandi, dia yakin konsert ini boleh menarik penonton yang ramai kerana sebelum ini juga mereka pernah membuat persembahan di sana dan ia berjaya menghimpunkan ramai orang. Apatah lagi kali ini empat legenda rock akan bergabung, pastinya lebih ramai.
"Saya dan Mus akan nyanyikan lagu duet kami yang berjudul Sendiri dan beberapa lagu lain kumpulan Amuk. Mengenai pemilihan lagu, jika diikutkan Bandi lebih gemar nyanyikan lagu yang popular dan penonton akan menyanyikan bersama. Itu lebih memberi kepuasan kepada kami mahupun penonton. Tapi ada juga lagu baru yang akan disampaikan," jelas vokalis kumpulan Amuk itu semasa sidang akhbar di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, bicara Mus dari kumpulan May, tidak banyak kelainan yang akan dibuat memandangkan mereka akan menyampaikan lagu yang biasa didengar peminat dan berkemungkinan kelainan yang akan terlihat ialah suasana dan pentas di sana.
"Namun, kami berjanji akan memberikan yang terbaik buat warga Sabah dan peminat yang menanti kehadiran kami. kami juga akan menyampaikan lagu yang biasa didengar dan sebanyak enam buah lagu yang akan dinyanyikan," jelas Mus yang juga mengatakan jika ada yang ingin menjemput kumpulan May untuk mengadakan konsert mereka tidak keberatan untuk terima.
Menurut Asheed dari kumpulan rock DEF-GEB-C pula memberitahu bahawa lagu yang akan disampaikan olehnya kelak merupakan lagu wajib yang digemari peminat seperti Cinta Sakti, Ibukota Cinta, Marilah Maria dan lain-lain lagi termasuk satu single terbaharu yang dilancarkan pada Ramadan lalu.
Tiket dijual pada harga RM20 seorang dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Eksekutif Promosi Kanan Nova Music, Rouslan Moktar di talian 012-2988446.

Popular Kerana Berbadan Sasa



WALAU telah popular, Taylor masih menerima layanan yang sama daripada keluarga dan teman-temannya.




TIDAK menyangka bermula dengan minatnya terhadap seni mempertahankan diri pada zaman kanak-kanak telah membawa nama Taylor Daniel Lautner ke kelas yang lebih tinggi berbanding rakan seusianya.
Pernah berlakon dalam filem pecah panggung pada zaman kanak-kanaknya, The Adventures of Sharkboy and Lavagirl 3-D dan Cheaper by the Dozen 2 pada tahun 2005, namun tuahnya hanya datang pada tahun 2008 apabila terpilih untuk memegang watak Jacob Black dalam filem Twilight bersama dengan Robert Pattinson dan Kristen Stewart.
Kini, ke mana sahaja jejaka berusia 19 tahun itu pergi, dia pasti dikelilingi oleh peminat yang rata-ratanya gadis remaja yang menggilainya sejak perubahan drastik tubuhnya daripada seorang remaja biasa kepada lelaki gagah.
"Secara jujur, saya tidak pernah penat dengan jeritan gadis-gadis yang merupakan peminat saya. Memang ada masanya saya akan terasa penat tetapi jika itu caranya mereka menunjukkan sokongan terhadap saya, saya tidak kisah dan menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya yang memiliki ketinggian 1.78 meter.
Tidak hanya sekadar jeritan, tarikan Taylor menyebabkan para peminat tidak kisah untuk berkhemah di sekitar kawasan penggambaran filem terkini, Abduction di Pittsburgh. Taylor bagaimanapun tidak menganggap peminatnya mengganggu perjalanan kerjanya sebaliknya dia cukup menghargai peminat yang datang dari jauh semata-mata mahu melihatnya secara langsung,
"Agak memenatkan kerana waktu itu kami melakukan penggambaran pada waktu malam. Saya akan berada di set pada pukul 8 malam sehingga 5 pagi. Waktu saya keluar daripada set penggambaran saya lihat terdapat 800 orang gadis sedang menunggu di tepi jalan. Dalam masa satu jam, saya mengambil gambar bersama mereka semua. Badan saya terlalu penat, tetapi peminat lebih penting buat saya,"katanya.
Tarikan utama Taylor tidak sahaja lakonannya yang berkesan tetapi juga tubuh badannya yang sasa, disebabkan itu di dalam filem sekuel Twilight dan juga filem baharunya, Abduction, Taylor turut mendedahkan tubuhnya atas kehendak skrip.
"Bila saya dapat skrip filem itu, saya lihat terdapat lima atau enam babak yang memerlukan saya tampil tanpa baju. Saya terfikir juga bimbang orang muak lihat watak saya tanpa baju dan samakan dengan watak saya di dalam filem Twilight. Tetapi bila semak balik skrip, babak tanpa baju itu memang perlu mengikut jalan cerita dan juga karakter yang saya bawakan," terangnya yang berasal dari Grand Rapids, Michigan, Amerika Syarikat.
Jika di dalam Twilight, wataknya sebagai Jacob Black mempunyai badan yang begitu sasa, tetapi sejak menamatkan penggambaran sekuel terbaharu filem keempat The Twilight Saga: Breaking Down, tubuhnya sedikit susut.
"Memang saya susut tetapi sedikit sahaja. Saya memang seorang yang sangat sukakan senaman tetapi sejak menamatkan penggambaran filem Twilight saya tidak mengikut rutin senaman yang ketat untuk kekalkan otot tubuh. Sekarang saya tidak perlu paksa diri saya untuk makan jika saya tidak lapar, juga tidak akan ada orang (jurulatih peribadi) datang sumbatkan makanan dalam mulut saya setiap lima minit.
"Sebaliknya kini, saya lebih aktif dan terlibat dalam banyak sukan. Saya boleh makan apa sahaja dan sebanyak mana yang saya mahu tetapi tidak semestinya makanan segera kerana saya memang mengamalkan cara pemakanan yang sihat," tuturnya yang memiliki seorang adik perempuan bernama Makena.
Selepas Twilight
Selepas empat tahun sebati dengan watak Jacob Black di dalam empat sekuel filem Twilight termasuk,The Twilight Saga: Breaking Down bahagian pertama yang akan menemui penonton pada 24 November depan, Taylor tidak mahu terus hanyut dengan kejayaan yang diterima menerusi filem puntianak itu.
Tegasnya, yang dinamakan sebagai aktor remaja yang menerima bayaran tertinggi pada tahun 2010, sebagai seorang aktor dia mahu terus mencabar dirinya dalam pelbagai watak dan juga genre filem.
"Setiap watak yang saya bawa merupakan watak baharu yang belum pernah saya cuba. Saya mempunyai pengalaman yang seronok dan sekarang saya memandang ke depan untuk melakukan sesuatu yang berbeza daripada Twilight dan Abduction.
Bagaimanapun saya tidak melihat diri saya di pentas muzikal kerana saya yakin peminat tidak mahu melihat saya di pentas muzikal," ucapnya.
Disoal sejauh mana persamaan antara Taylor dan wataknya sebagai Jacob Black dalam filem Twilight, sambil tersenyum Taylor mengatakan dirinya yang sebenar langsung tidak sama dengan Jacob Black.
"Saya tidak pernah sama dan tidak akan menjadi Jacob Black di dalam dunia sebenar kerana sebagai seorang lelaki saya memang tidak boleh melihat wanita yang saya cintai bersama dan mengahwini lelaki lain di depan mata saya sendiri. Itu memang bukan diri saya," luahnya yang berkawan baik dengan aktres remaja, Salena Gomez dan Dakota Fanning.
Akui Taylor, sukar untuknya meninggalkan set penggambaran filem Twilight dan berpisah bersama teman-teman lakonan dan krew selepas empat tahun bersama termasuk tujuh bulan penggambaran untuk sekuel keempat Breaking Down.
"Bagi sekuel terakhir, lima bulan penggambaran dilakukan di Baton Rouge dan dua bulan di Vancouver. Memang satu penggambaran yang mengambil masa cukup lama lebih kurang 110 hari penggambaran. Mulanya bila saya lihat jadual, saya fikir saya akan penat bila sampai dipenghujungnya kerana kami melakukan penggambaran dua bahagian serentak, tetapi tidak. Saya mempunyai masa yang cukup seronok dan langsung tidak penat apabila di set penggambaran.
"Sebab itu kami semua agak beremosi terutama pada hari terakhir penggambaran. Kami sudah lama bersama, bukan sekadar dua, tiga bulan tetapi sudah bertahun-tahun. Apa yang bagusnya kami akan bersama kembali untuk sesi promosi filem ini," jawabnya.
Meskipun jadual kerjanya padat, Taylor yang sempat bercinta dengan penyanyi remaja Taylor Swift sehingga tahun 2009 memberitahu, tidak ada masalah dengan jadualnya kerana dia melakukan kerja yang disukainya tanpa sesiapa pun memaksa.
"Saya sedang berseronok sekarang ini. Saya sibuk dengan promosi filem dan mengembara dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya seorang yang suka mengembara jadi, saya akan meneruskan kerja seperti biasa, tiada rehat yang panjang. Tetapi saya tetap akan mencari masa untuk berehat dan mencari masa untuk diri saya sendiri," katanya.
Walaupun popular dalam yang cukup pantas, Taylor menegaskan dia masih orang sama seperti dahulu. Kehidupan yang berubah 360 darjah tidak bermakna dia harus mengubah cara hidupnya seratus peratus dan itu merupakan kunci untuknya berpijak di bumi yang nyata dan tidak hanyut dengan populariti yang dikecapi pada usia muda.
"Saya bersyukur kerana masih mempunyai kehidupan yang sama seperti sebelum ini. Saya tidak mahu mengubah satu pun kehidupan lama saya walaupun kehidupan baharu saya sangat mengujakan. Saya dapat lakukan kerja yang saya suka dan dalam masa yang sama saya masih tinggal bersama keluarga dan melepak bersama teman-teman yang sama.
"Jika di rumah, saya masih remaja yang normal, keluarga saya masih meminta saya membantu kerja-kerja di rumah seperti biasa, tiada layanan luar biasa buat saya. Secara jujurnya, teman-teman saya masih melayan saya sama seperti dulu yang mana saya rasa itu satu perkara yang bagus.
"Saya tidak mahu kerana saya berjaya dengan filem, layanan berubah, itu akan menjadi pelik. Mereka sangat menyokong apa yang saya lakukan dan merupakan pengkritik lakonan saya yang paling jujur," bicaranya panjang lebar.

Charlie Angels Kini Di Miami


GAMBAR yang disiarkan stesen ABC pada Khamis lalu menunjukkan Rachel Taylor (kiri), Minka Kelly (tengah) dan Annie Llonzeh.

MIAMI, Amerika Syarikat (AS) - Miami kini menjadi bandar raya baharu untuk siri televisyen yang mengisahkan tentang trio penyiasat jelita, Charlie's Angels bagi menggantikan kota metropolitan Los Angeles.
Stesen televisyen ABC dilihat bakal menyiarkan versi terbaharu siri televisyen klasik itu dalam tayangan waktu perdananya.
Siri baharu itu cuba lari daripada versi tahun 1970-an
Episod pertamanya bermula dengan dua orang anggota penyiasat iaitu seorang bekas pencuri yang dilakonkan oleh Rachael Taylor dan pegawai polis, Annie Ilonzeh manakala seorang lagi anggota terbunuh dalam satu misi.
Justeru, ketua mereka, Charlie Townsend dan pembantunya Bosley memujuk Taylor dan Ilonzeh untuk merekrut seorang anggota baharu yang merupakan seorang pelumba jalanan, Minka Kelly.
Dalam siri itu, Taylor memegang watak sebagai Abby Sampson, Kelly sebagai Eve dan Ilonzeh sebagai Prince.
Aktres Drew Barrymore yang turut berlakon dalam filem Charlie's Angels pada tahun 2000 dan 2003 bertindak selaku penerbit eksekutif.
Charlie's Angels yang asal dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Farrah Fawcett, Kate Jackson dan Jacklyn Smith.
Ia menjadi antara siri televisyen paling berjaya di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1970-an.

Gambar Kekasih Shaheizy Sam yang Seksi!

Shaheizy Sam bin Abd Samad (4 September 1982) ialah seorang pelakon yang menempa nama sebagai pelakon remaja ketika era 1990-an sebelum melonjak naik dalam filem Bohsia, Jangan Pilih Jalan Hitam pada tahun 2009 dan filem pecah panggung Adnan Sempit pada tahun berikutnya. Tapi tahu kah anda, yang Shaheizy mempunyai kekasih? kekasihnya itu memang cun dan cantik. Tapi yang tidak disangka-sangka, seksi pula kekasihnya itu. Kalau betul ini kekasih Shaheizy memang bertuah badan lah Shaheizy. Tapi janganlah terlalu seksi sangat, besar risiko tue. Hehe.






Gambar Isteri Harith Iskandar Jezamine Berbikini

image

image

Wednesday, 21 September 2011

Rozita Che Wan Minta Zain Saidin Jelaskan Status Cinta



Rozita Che Wan
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan, 38, (gambar) berhadapan dengan kontroversi baru apabila dikhabarkan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Zain Saidin, 27, apabila kedua-duanya ditemukan dalam drama bersiri Kiah Pekasam musim kedua yang menjalani penggambaran di Perlis.
Bagaimanapun, wanita itu enggan memberikan pengesahan sebaliknya meminta Zain menjelaskan tentang perkara tersebut.
“Saya malas nak jawab tentang cerita ini kerana nanti orang akan kata saya syok sendiri. Lebih baik tanyakan sahaja kepada Zain,” katanya kepada mStar Online.
Menurutnya, dia seakan-akan serik untuk memberikan komen tentang cinta selepas beberapa kali dikaitkan dengan pelbagai termasuklah artis.

Zain Saidin
Biarpun begitu, Rozita tidak mempertikaikan bahawa dia dan Zain masih berkawan baik seperti dulu dan tidak pernah bermusuh.
“Dia merupakan seorang yang baik dan pandai melayan anak-anak saya. Mereka juga sangat menyukai Zain,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Zain ketika dihubungi mStar Online hanya tergelak apabila disoal tentang status hubungannya dengan Rozita sebaliknya mengatakan hubungan mereka sekadar teman rapat.
Seperti Rozita, Zain turut mengiakan bahawa dia gemar melayan anak-anak wanita itu.
“Mereka memanggil saya ‘uncle’ dan saya memang suka melayan budak-budak. Mungkin cerita tentang hubungan cinta kami tersebar memandangkan kami sama-sama terlibat dalam drama Kiah Pekasam,” katanya.
Dalam perkembangan lain Rozita menafikan dakwaan mengatakan dia semakin ‘demand’ selepas pulang dari mengerjakan umrah pada bulan Ramadan baru-baru ini dengan meletakkan bayaran tinggi kepada mana-mana syarikat produksi yang mahu mengambilnya berlakon.

Mamat (Sepah) Mengaku Salah 'Dedah' Rambut Fida


Mamat dan Fida kini sedang hangat bercinta.
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Sepah, Mohd Noor Murad atau Mamat telah melakukan kesilapan apabila secara tidak sengaja memuat naik gambar kekasihnya, pelakon Fida Ibrahim yang menampakkan sebahagian rambut ke akaun Facebook miliknya.
Mamat berkata, dia kesal dengan kesilapannya itu kerana perbuatan tersebut telah menyebabkan nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak tercalar.
"Saya mengakui itu adalah salah saya tetapi sejujurnya saya tidak berniat untuk mengaibkan nama baik Fida pada mata masyarakat. Dia adalah seorang gadis yang baik," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Mamat diminta mengulas mengenai penyebaran gambar kekasih tanpa tudung sebaliknya tetapi menampakkan sebahagian rambutnya dengan memakai topi di laman-laman blog hiburan tempatan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kejadian itu, Mamat berkata gambar tersebut diambil ketika dia dan keluarganya sedang bercuti di sebuah destinasi yang turut disertai oleh Fida dan beberapa rakan lain.
Gambar Fida menampakkan sebahagian rambutnya yang tersebar luas di laman-laman blog hiburan di Internet.
Menurutnya, semasa gambar tersebut diambil, dia tidak perasan sebahagian rambut kekasihnya itu terdedah kerana tidak memakai cermin mata ketika itu.
"Semasa kejadian Fida di dalam kereta dan secara spontan saya mengambil gambar tersebut tanpa menyedari sebahagian rambutnya terdedah tambahan pula saya tidak memakai cermin mata.
"Tanpa berfikir panjang saya terus memuat naik gambar tersebut di laman Facebook milik saya," jelasnya.
Rasa bersalah mengenai kejadian tersebut, Mamat berkata dia berharap masyarakat tidak membuat tohmahan buruk kepada Fida kerana gadis itu tidak bersalah dalam hal tersebut.
"Saya sangat berharap perkara ini tidak melarat kerana takut orang akan mengatakan saya telah mengubah Fida melakukan perkara tidak baik sejak berkawan dengan saya.
Ditanya adakah dia ada berbincang dengan Fida mengenai perkara berkenaan, Mamat memberitahu Fida tidak mengetahui dia memuat naik gambar tersebut.
"Sebab itu saya kata Fida tidak bersalah dalam hal ini kerana semasa anda menemu bual saya ini, dia sendiri masih tidak mengetahui mengenai apa yang sedang terjadi. Saya belum bercakap dengannya tentang hal itu," katanya.

Perniagaan Butik Jadi Sebab Dynas Kurangkan Aktiviti Seni

KUALA LUMPUR: Pelakon Dynas Mokhtar mengakui dia mula memperlahankan aktiviti lakonannya selepas sibuk menguruskan butik pakaian untuk ibu mengandung miliknya, Dynas Nursing Attire (DNA).
Kata Dynas, selepas sembilan tahun mengacara dan berlakon, tibalah masanya untuk dia memberi laluan kepada pelakon-pelakon baru mengembangkan bakat mereka dalam industri lakonan pula.
"Sebelum ini saya sudah cuba macam-macam aktiviti berkaitan bidang seni kecuali menyanyi. Rasanya masa saya untuk perkara itu sudah habis dan kini tibalah giliran muka-muka baru pula untuk menonjolkan bakat.
"Lebih-lebih lagi selepas mempunyai anak dan perniagaan DNA, masa yang saya ada semakin terhad membuatkan saya sukar untuk aktif berlakon seperti dulu," katanya.
Tambah Dynas, atas sebab itu dia hanya akan berlakon jika watak dan skrip yang diberi menarik perhatian selain mempunyai krew produksi yang pernah bekerja sama dengannya.
"Tak mungkin saya akan berhenti berlakon. Tetapi saya akan berlakon jika skrip yang diberi itu bagus serta krew produksi juga mesti pernah bekerja dengan saya. Lebih senang untuk kita berkomunikasi dan faham kerja masing-masing," tuturnya.
Menurut ibu kepada Khyra Khalisa yang berusia setahun itu, dia gembira dengan kehidupannya pada hari ini lebih-lebih lagi melihat perniagaan butiknya semakin maju dan diterima umum.
Malah Dynas sedang merancang untuk memperluaskan perniagaannya dengan membuka sebuah lagi butik di Subang, dekat sini tidak lama lagi.
"InsyaAllah saya akan membuka sebuah lagi butik yang lebih besar. Takut juga nak buka kedai besar kerana ia mengundang risiko yang lebih tinggi, tetapi saya harus mengharunginya dengan mencari rakan kongsi untuk butik baru tersebut.
"Tidak sangka dalam masa empat bulan, penerimaan orang ramai terhadap DNA amat memberangsangkan, sampai tak cukup stok dibuatnya. Malah mereka mengharapkan rekaan baru yang dikeluarkan setiap bulan.
"Sedangkan rekaan baru hanya muncul setiap empat bulan. Alhamdulillah, perniagaan saya berjalan dengan lancar mengikut perancangan," ujarnya.
Butik DNA terletak di tingkat satu pusat beli-belah The Curve, Damansara, dekat sini.

Lea Michele Sahkan Putus Cinta Dengan Theo Stockman

LOS ANGELES: Pelakon utama drama bersiri Glee, Lea Michele,25 dikhabarkan telah memutuskan hubungan cintanya hampir setahun dengan Theo Stockman.
Jurucakap kepada bintang itu mengesahkan mengenai perkara tersebut kepada E!Online dan menegaskan perpisahan berkenaan dibuat secara baik dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.
"Mereka masih berkawan dan akan menjadi kawan," katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Michele dan bekas kekasihnya itu sebelum ini tidak mendedahkan hubungan mereka kepada umum tetapi pernah muncul bersama-sama pada majlis Times 100 Most Influential People Gala di New York pada May 2010.
Stockman, 26, adalah bintang teater dan pernah berlakon dalam teater American Idiot selain pernah muncul di dalam drama bersiri seperti 30 Rock dan Nurse Jackie.
Pasangan itu kali terakhir dilihat bersama ketika bercuti di Hawaii pada Julai.

Lea Michele Sahkan Putus Cinta Dengan Theo Stockman

LOS ANGELES: Pelakon utama drama bersiri Glee, Lea Michele,25 dikhabarkan telah memutuskan hubungan cintanya hampir setahun dengan Theo Stockman.
Jurucakap kepada bintang itu mengesahkan mengenai perkara tersebut kepada E!Online dan menegaskan perpisahan berkenaan dibuat secara baik dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.
"Mereka masih berkawan dan akan menjadi kawan," katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Michele dan bekas kekasihnya itu sebelum ini tidak mendedahkan hubungan mereka kepada umum tetapi pernah muncul bersama-sama pada majlis Times 100 Most Influential People Gala di New York pada May 2010.
Stockman, 26, adalah bintang teater dan pernah berlakon dalam teater American Idiot selain pernah muncul di dalam drama bersiri seperti 30 Rock dan Nurse Jackie.
Pasangan itu kali terakhir dilihat bersama ketika bercuti di Hawaii pada Julai.

Bahagia Tanpa Lelaki Di Sisi

JIKA tiada aral melintang, album ketiga Maya Karin akan dipasarkan pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

TERASA pantas benar waktu berlalu apabila sudah hampir satu setengah tahun aktres jelita ini menjalani kehidupan sebagai seorang janda.
Malah, tuan punya badan sendiri juga mengakui perkara yang sama apabila diajukan soalan seandainya dia sudah bertemu dengan teman hidup baru.
“Baru saya sedar yang rupa-rupanya sudah lama juga saya hidup sendirian. Rasa seperti baru semalam sahaja perkara itu berlaku (perceraian).
“Menjawab soalan itu, saya tidak mempunyai mana-mana teman istimewa ketika ini. Jujurnya, saya rasa cukup bahagia hidup keseorangan tanpa lelaki di sisi saya.
“Bukannya hidup saya akan berakhir apabila tiada lelaki yang menemani saya. Soal itu bukan lagi satu keutamaan buat saya.
“Lebih baik hidup sendiri kerana banyak perkara yang boleh saya lakukan seperti menghabiskan masa dengan bercuti yang sudah lama saya tidak berpeluang melakukannya,” kata Maya Karin penuh optimis sewaktu ditemui pada Majlis Amal Raya Murai bersama DoubleTree by Hilton di ibu negara, baru-baru ini.
Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke mendirikan rumah tangga dengan seorang guru matematik, Steven David Shorthose pada 14 Ogos 2008 di Bellagio, Itali.
Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila Maya diceraikan dengan talak satu pada 16 Julai tahun lalu.
Selepas kembali solo, nama Maya tidak terlepas daripada dikaitkan dengan beberapa artis lelaki popular seperti Remy Ishak dan Yusry Abdul Halim.
Tetapi, semua cerita tersebut dibawa angin lalu apabila Maya memberitahu hubungannya dengan dua jejaka kacak itu tidak lebih daripada sekadar kawan sahaja.
Tenang bercuti
Kalau diperhatikan juga, publisiti tentang Maya begitu kurang dipaparkan di media massa kebelakangan ini.
Tetapi, mengenali Maya dan kredibilitinya sebagai seorang artis yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, dia bukanlah seorang yang gemar menjaja cerita kosong semata-mata mahu mengekalkan reputasinya.
Seperti mana yang dijelaskan Maya di awal perbualan, beberapa bulan kebelakangan ini, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan bercuti ke luar negara sekali gus menjawab persoalan mengenai ‘kehilangannya’.
Kata Maya, dia perlu menghargai dirinya sendiri dan kerana itu, dia perlu bercuti bagi mencari ketenangan selain merehatkan tubuh serta mindanya selepas puas bekerja.
Lantaran itu, tahun 2011 boleh dianggap sebagai tahun percutian untuk aktres yang mula menempa nama menerusi filem Seri Dewi Malam ini apabila sudah banyak negara yang dilawatinya.
Bermula dari awal tahun, Maya sudah ke Jepun dan kemudiannya ke beberapa destinasi menarik di Amerika Selatan, Bhutan dan terbaru, menyambut Aidilfitri di Sydney serta Byron Bay di Australia selama dua minggu.
Melihatkan kulit wajahnya yang kemerah-merahan pada majlis itu, ternyata Maya sedang mengalami selaran matahari (sunburn) gara-gara aktiviti meluncur pantai yang menjadi rutinnya hampir setiap hari ketika di Byron Bay.
“Alhamdulillah, saya berasa sungguh gembira mendapat peluang bercuti sepanjang tahun ini ke negara yang belum berkesempatan saya kunjungi sebelum ini.
“Percaya atau tidak, saya sendiri tidak pernah berpeluang ke Australia sepanjang hidup saya dan apabila ada teman serta saudara yang mengajak saya untuk ke sana, sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang itu.
“Tetapi jangan ada yang menyangka saya bercuti kerana mahu mencari ketenangan hanya kerana saya sudah hidup keseorangan. Semua itu tidak benar kerana saya mahu lari sebentar daripada kerja.
“Lagipun saya sendiri sudah menyiapkan tiga projek iaitu dua buah filem, Katerina dan Ombak Rindu serta album ketiga saya,” jelas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Anak Halal ini panjang lebar.
Album ketiga tertangguh
Menyentuh tentang album ketiganya pula, anak kelahiran Bayreuth, Jerman itu memberitahu kesemua lapan buah lagu sudah siap dirakamkan.
Diterbitkan sepenuhnya oleh komposer prolifik, Audi Mok, album yang berkonsepkan pop itu sepatutnya akan berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.
Tetapi, kata Maya yang pernah menempa kemasyhuran sebagai penyanyi menerusi lagu Erti Cinta itu, kerana beberapa faktor teknikal, kemungkinan besar album itu terpaksa ditangguh terlebih dahulu.
“Selepas mendengar keseluruhan album itu, ada beberapa bahagian pada sesetengah lagu perlu diperbaiki dari segi susunan muzik dan aspek teknikal yang lain.
“Insya-Allah, jika semuanya sudah selesai, album itu akan dipasarkan juga akhirnya. Begitu juga dengan pemilihan lagu untuk dijadikan sebagai single pertama nanti,” kata duta produk kecantikan L’Oreal dan tilam Vono ini penuh harapan.
Sebelum ini, Maya pernah muncul dengan dua buah album Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004).
Malah, anak sulung daripada tiga beradik ini juga pernah dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik pada tahun 2002 namun tewas kepada Sarimah Ibrahim.

Anna Kenderick Sejuk Di Set Twilight

LOS ANGELES 20 Sept. - Pelakon, Anna Kendrick melahirkan rasa lega selepas menyelesaikan penggambaran filem puntianak bersiri terbaru Twilight di Kanada.
Pelakon berumur 26 tahun itu hanya memegang watak sokongan dalam filem blockbuster terakhir Twilight iaituBreaking Dawn yang dipecahkan kepada dua bahagian.
Dia berkata, perasaan itu timbul kerana cuaca di Kanada sangat sejuk.
''Saya lega tidak kehilangan jari tangan atau kaki akibat cuaca beku. Saya juga merasa selamat apabila rambut saya tidak ditarik peminat filem ini. Ia merupakan satu kejayaan apabila melengkapkan penggambaran.
''Saya hanya mempunyai peranan kecil dan tidak mengalami pengalaman menakutkan. Saya tidak tahu bagaimana pelakon lain mengharungi penggambaran selama sembilan bulan dengan penggambaran kedua-dua bahagian filem itu diadakan serentak,'' ujarnya yang dipetik olehShowbiz Spy.
Kendrick berkata, dia hanya berada di set penggambaran selama dua minggu.

Anugerah Emmy Penuh Dengan Kejutan


Ty Burrell (kiri) bersama Julie Bowen yang berlakon bersama dalam siri televisyen Modern Family memegang trofi Emmy masing-masing dalam kategori pelakon pembantu lelaki dan wanita komedi terbaik di Los Angeles, Ahad lalu.



LOS ANGELES 20 Sept. - Walaupun dramaMad Men dan Modern Family menepati jangkaan memenangi antara anugerah utama dalam Anugerah Emmy 2011 semalam, ia turut memberi kejutan dan kekecewaan kepada peminat anugerah itu.
Siapa sangka pelakon Kyle Chandler dariFriday Night Lights yang wataknya sudah tidak wujud lagi berjaya mengalahkan pesaingnya bagi kategori pelakon lelaki utama bagi kategori drama bersiri.
Ramai pengkritik menjangka kemenangan kategori tersebut buat kali ke-63 itu akan berpihak kepada seorang lagi bintang drama tersebut, Connie Britton ataupun Jon Hamm dari drama Mad Men.
Satu lagi kejutan ialah apabila Melissa McCarthy yang pertama kali dicalonkan dalam Emmy bagi lakonannya dalam dramaMike & Molly memenangi anugerah pelakon wanita drama komedi terbaik mengenepikan Amy Poehler menerusi Parks and Recreation dan Tina Fey dari drama 30 Rock.
Walaupun Jim Parson memenangi anugerah pelakon lelaki drama komedi terbaik pada tahun lalu, ramai yang tidak menyangka dia akan memenanginya sekali lagi kerana jangkaan diberikan kepada Steve Carell menerusi drama The Office yang merupakan musim terakhir.
Bekas pelakon drama itu, Rain Wilson, menulis di dalam laman Tweet miliknya, "Industri televisyen sepatutnya berasa malu dengan diri mereka kerana Steve Carell tidak memenangi Emmy untuk wataknya sebagai Michael Gary Scott."
Kemenangan Barry Pepper dalam anugerah pelakon lelaki siri pendek terbaik turut mengejutkan ramai pihak kerana drama Kennedys itu dikritik hebat sebelum ini.
Pemenang lain yang telah diduga dan menepati ramalan adalah seperti Ty Burrell dan Julie Bowen yang memenangi pelakon pembantu komedi terbaik bagi drama komedi Modern Familyserta Kate Winslet menerusi lakonan hebatnya dalam Mildred Pierce.

Mercedes Vintaj John Travolta Dicuri



JOHN Travolta memandu kereta Mercedes-Benz 280SL tahun 1960-an yang dilaporkan dicuri di Los Angeles, Ahad lalu.


LOS ANGELES 20 Sept. - Kereta vintaj model Mercedes-Benz 280SL milik pelakon Hollywood terkenal, John Travolta dicuri ketika beliau melawat bilik pameran kereta Jaguar untuk beberapa minit, lapor pihak polis semalam.
Menurut Sarjan Richard Lewis, pelakon filem The Grease dan Pulp Fiction itu meletakkan kereta vintajnya di kawasan perumahan yang terletak di Santa Monica pada Ahad lalu.
Katanya, Travolta mendapati kereta vintaj itu hilang selepas pulang dari bilik pameran berdekatan.
"Beliau meletakkan keretanya di jalan perumahan dan melawat wakil jualan yang terletak berhampiran selama kira-kira 10 minit.
"Saya tidak tahu jika pencuri tersebut mengekori Travolta atau secara kebetulan sahaja menyasar pada kereta itu." kata Lewis.
Travolta menganggarkan keretanya berharga AS$35,000 (RM110,000) dan turut menyatakan ia boleh bernilai lebih daripada jumlah tersebut kerana ia adalah model vintaj.

Fida Bakal Adakan Sidang Media



adis cantik yang mencipta nama melalui rancangan realiti Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene, dihujani pelbagai kontroversi sejak akhir-akhir ini.

Sejak awal kemunculannya, Rafidah Ibrahim atau Fida 25, pernah mencetuskan kontroversi apabila dia menafikan hubungan kekeluargaan dengan Datuk Siti.

Namun semuanya terbongkar, apabila dia dilihat menghadiri majlis pengebumian bapa Siti, Taruddin Ismail, dua tahun lalu.

Baru-baru ini, Fida turut dikecam kerana berpakaian sendat di sebuah majlis. Kontroversi demi kontroversi terus melanda dirinya, apabila aksinya memeluk Iqram Dinzly menerusi drama Kasih Alia mencetuskan ketidakpuasan hati peminatnya.

Bahkan hubungannya dengan Mamat bekas anggota Sepah juga turut mendapat perhatian banyak pihak kerana dia dikatakan punca perpisahan Mamat dan bekas kekasihnya, Adda.

Sejak itu, Fida juga lebih banyak mendiamkan diri. Mungkin baginya itulah cara yang terbaik untuk menghentikan segala tohmahan.

Namun ia bukanlah penamat segalanya, kerana Fida sekali lagi yang hampir tidak bertudung dengan rambut panjang mengurai, tersebar pula di Internet. Menurut sumber, ada yang mengatakan Mamat tidak sengaja memasukan gambar itu di laman Facebook.

Malah, gambar itu dikatakan diambil semasa mereka bercuti di negara seberang bersama adik-beradik dan teman rapat yang lain.

Demi mendapatkan penjelasan yang sebenarnya, pihak Zass turut menghubungi Fida, bagaimanapun, Pengurusnya, Zemir berkata, Fida masih belum bersedia memberikan apa-apa komen ketika ini.

“Dia tidak ada sebarang penjelasan sekarang, tetapi atas persetujuannya pihak kami akan mengadakan sidang media nanti berkenaan isu itu,” katanya lagi.


Tidak hanya dikurniakan kecantikan semula jadi, malah dia juga punya bakat lakonan yang besar. Itulah personaliti pelakon Fouziah Gous.

Namanya semakin bersinar. Ditambah dengan lakonan berkesan menerusi drama Tahajjud Cinta, Fouziah berjaya membuatkan penonton drama itu terbuai dengan emosi dilakonkan. Air mata yang mengalir bagai tiada paksaan dan Fouziah berjaya sebagai Seri.

Jika di awal kemunculannya, banyak pihak seakan tidak percaya pada kebolehannya, apatah lagi muncul dengan watak pembantu rumah yang tiga suku menerusi drama komedi Nana Tanjung.

Dengan watak ‘gila-gila’ itu, Fouziah menerima tamparan hebat. Namun, tidak sekelumit pun kata-kata itu tertusuk di jiwanya.

“Sebagai pelakon baru ketika itu, saya bangga dengan diri saya kerana diberikan peranan begitu.

“Adakah ada pelakon lain yang boleh berbuat begitu? Sekurang-kurangnya itulah pengalaman pertama saya. Saya sentiasa belajar untuk memperbaiki setiap kelemahan lakonan saya.

“Apa sahaja watak diberikan, itulah tanggungjawab perlu digalas untuk menjadi seorang pelakon yang baik,” tuturnya lembut.

Bagi Fouziah, hidup sebagai anak seni perlu berani menghadapi pelbagai cabaran. Jika tidak berani, usahkan bertahan, mungkin dia sudah angkat kaki dan serik bergelar pelakon lagi.

“Jiwa dan hati kena kuat. Saya sentiasa berfikiran positif dan mengingatkan diri tidak ada perkara senang untuk dinikmati dalam dunia ini sekiranya lemah dan tidak ada kesabaran.

“Paling penting, jangan mudah termakan segala pujian kerana ia boleh memakan diri,” katanya.



Jadi kesayangan penerbit

Sejak awal hingga kini, pelbagai watak telah dibawanya seperti gadis kampung dan watak sedih.

Itulah kekuatan terlihat pada pelakon drama Trilogi Cinta ini. Fouziah antara pelakon dikatakan senang bekerjasama dan tidak pernah menimbulkan masalah. Kerana itu, Fouziah menjadi kesayangan penerbit dan pengarah.

“Alhamdulillah jika ada mengatakan begitu. Saya memang akan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja.

“Saya suka jika setiap kesalahan ditegur. Daripada situlah saya menimba pengetahuan dan membetulkan diri,” katanya.

Jarang sekali Fouziah membawakan watak jahat. Namun, tawaran datang padanya beberapa bulan lalu, terus digenggam kerana dia yakin boleh menunjukkan lagi sisi lakonannya.

“Saya menerima tawaran untuk berlakon drama Senyawa. Memegang watak Mastura, saya cuba menjadi lain daripada watak biasa yang pernah saya bawa.

“Watak ini memberi peluang saya menjadi wanita jahat dan psiko.

“Tidak mudah untuk saya menjadi Mastura kerana banyak bermain dengan emosi dan lantang berkata. Harap-harap usaha saya menjadi,” katanya yang akan memulakan sesi penggambaran tidak lama lagi.



Masih mencari cinta!

Keakraban Fouziah dengan pelakon Iqram Dinzly sering disalah anggap sesetengah pihak. Persahabatan yang terjalin hampir lima tahun itu, sering dikatakan punya bibit cinta.

Sedangkan empunya diri sudah mematerikan tiada cinta tersulam, yang ada hanya ketulusan dalam berkawan.

“Sebenarnya saya sudah jelak, apabila ada pihak menabur fitnah terhadap persahabatan kami. Saya minta sangat agar kenyataan saya ini dapat mengubah segala-galanya.

“Saya memang sayang pada Iqram, begitu juga dia. Tapi, hubungan kami tidak lebih daripada sahabat.

“Dalam bidang seni, Iqram adalah kawan paling rapat. Dia begitu memahami dan keluarga kami, saling mengenali. Kami boleh kongsi apa sahaja cerita bersama dan harapnya kisah percintaan kami tidak lagi menjadi bualan,” katanya.

Menginjak usia 30 tahun pada tahun hadapan, Fouziah mengakui debaran melangkah ke angka tiga itu. Jika ada kenalannya yang sudah mendirikan rumah tangga dan bahagia di samping suami, Fouziah juga mahukan seperti itu.

Namun, dirinya masih tercari-cari cinta sejati.

“Aduh... cinta oh cinta. Siapa tak mahukan. Cuma saya seorang yang sangat teliti dalam situasi ini.

“Mungkin saya akan dikatakan kolot kerana terlalu memilih, namun kebahagiaan yang saya cari harus begini.

“Saya ada ramai kawan tapi, yang benar-benar menambat hati, masih tak ada.

“Cuma, pada saat ini, saya sedang mengenali seseorang dengan lebih rapat dan ia belum lagi dipanggil cinta, hanya berkenalan dan mengenali sahaja,” katanya.

Spears Nafi Bertunang


BRITNEY SPEARS dan kekasih baharunya, Jason Trawick.


KHABAR pertunangan Britney Spears semakin kencang kedengaran. Lebih-lebih lagi apabila dia dilihat memakai cincin berlian yang dikenakannya di jari manis. Walau ada banyak bukti yang semakin menguatkan isu pertunangan tersebut, penyanyi itu dan kekasihnya, Jason Trawick, tetap menafikan hal tersebut.
Spears yang kini berada di London untuk menjalani pembikinan klip video terbaharunya,Criminal telah hadir ke BBC Radio hujung minggu lalu untuk satu temu bual. Sewaktu dikerumuni jurugambar, dia telah melambaikan tangan ke arah mereka. Pada waktu itu, gambar dia memakai cincin berlian di jari manis tangan kanannya telah dibidik jurugambar yang membuatkan isu dia telah bertunang dengan Trawick semakin hangat.
Insiden ini terjadi hanya beberapa hari selepas si kekasih, Trawick dilihat membeli sebentuk cincin di butik perhiasan Pascal Mouawad di Hollywood.
"Khabar mengenai cincin pertunangan ini sama sekali tak benar. Namun, memang Trawick di sana (kedai cincin) untuk berbincang masalah lain bersama Pascal, tapi bukan untuk kepentingan peribadinya," ujar jurubicara Spears.
Pernyataan yang dikeluarkan jurubicara Spears itu mungkin ada kebenaran, ini kerana sebelum ini penyanyi itu juga pernah memakai cincin berlian di jari manis seperti tanda bertunang.
Sementara itu, Trawick sendiri telah menafikan isu bertunang itu kepada Access Hollywood.

Ne-Yo umum akan berkahwin dengan kekasih hamil

LOS ANGELES - Penyanyi irama R & B, Ne-Yo yang kini sedang hangat dengan laguGive Me Everything bersama Pitbull dilaporkan akan berkahwin dengan kekasihnya, Monyetta Shaw yang hamil, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang jurucakap Ne-Yo mengesahkan bahawa Monyetta memutuskan hanya penyanyi itu satu-satunya lelaki yang sesuai untuknya.
Kekasihnya itu merupakan pemilik sebuah butik di daerah Buckhead, Atlanta.
Lamaran itu dibuat semasa Monyetta hamil anak kedua mereka.
Sebelum ini, Monyetta melahirkan seorang anak perempuan Ne-Yo pada November tahun lalu.
Ne-Yo yang berusia 31 tahun dibesarkan oleh ibunya selepas bapanya bercerai.
Penyanyi itu kemudian menubuhkan sebuah yayasan kebajikan bagi memenuhi impian kanak-kanak di rumah kebajikan.

Tuesday, 20 September 2011

Status Ana Dahlia, Chef Riz Diarah Kunci Mulut

PETALING JAYA: Mohd. Nadzri Redzuawan ,30, atau Chef Riz mengambil pendekatan untuk “mengunci mulut” selepas tersebar gosip kekasihnya iaitu pelakon Ana Dahlia,28, kononnya sudah bergelar janda.
Chef Riz yang juga pengacara MasterChef Malaysia, memberitahu, bapanya iaitu Datuk Chef Wan tidak membenarkan Riz memberikan apa-apa kenyataan tentang kisah cintanya dengan Ana melainkan sekiranya mahu menyentuh soal kerjaya.
“Saya tak boleh jawab apa-apa soalan tentang Ana atas nasihat bapa saya. Lagipun kami sedang berkawan baik dan tidak mahu sekiranya jawapan yang saya berikan nanti melukakan hati mana-mana pihak.
“Saya bimbang jika komen saya nanti akan menimbulkan pergaduhan di antara kami kemudian hari,” kata Riz ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Ahad lalu sebuah akhbar mingguan melaporkan Ana Dahlia yang berasal dari Taiping, Perak sebenarnya berstatus janda dan pernah dua kali gagal dalam perkahwinan sebelum menyertai AirAsia sebagai pramugari.
Jelas Riz, dia sekarang ini sedang sibuk dengan penglibatannya sebagai salah seorang juri tetap dan hos MasterChef Malaysia yang dijangka akan menemui penonton tidak lama lagi di Astro Ria (saluran 104).
“Saya akan mula menjalani penggambaran MasterChef Malaysia pada Selasa yang turut melibatkan empat chef lain selaku juri.
“Saya agak bertuah kerana merupakan chef termuda di kalangan chef lain yang menjadi juri dalam program yang dirakamkan selama 66 episod itu.
“Saya juga dipanggil untuk menjalani uji bakat oleh pihak Astro sebelum terpilih sebagai hos,” ujarnya lagi.

Kes Saman Nadia Mustafar Belum Tamat - Lisdawati



Lisdawati dan anak-anak ketika menghadiri majlis rumah terbuka penerbit Datuk Yusof Haslam.
PETALING JAYA: Kes saman fitnah melibatkan dua aktres iaitu Nadia Mustafar dan Lisdawati masih belum berakhir seperti yang diperkatakan sebelum ini.
Lisdawati menolak dakwaan itu walaupun Nadia pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kes tersebut telah selesai pada 27 Jun lalu.
“Hanya dia yang memberitahu bahawa kes ini telah selesai tetapi pada pihak saya belum menganggap ia sudah selesai.
“Kes ini masih dalam tempoh perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bermula hari ini (Isnin),” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Makam.
Perbicaraan tersebut disambung pada 10 Oktober depan. Lisdawati diwakili oleh peguam Sangeet Kaur Deo dan Karpal Singh.
Media sebelum ini melaporkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.
Bagaimanapun pada 27 Jun lalu, Hakim Yong Zarida Sazali meminta Lisdawati menarik semula saman itu ekoran beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes berkenaan.
KUALA LUMPUR: Penyanyi yang mendapat jolokan Michael Jackson di Filipina, Gary Valenciano memberitahu selesa merakamkan lagu dalam Bahasa Malaysia untuk album terbarunya.
Gary yang baru sahaja muncul dengan single berjudul 'Ayu' berkata, Bahasa Malaysia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan bahasa ibundanya, Tagalog dari segi sebutan dan ejaan.
Penyanyi yang lebih mesra dengan sapaan Gary V itu berkata, dia merakamkan lagu tersebut di Manila selepas mendapat lirik dalam Bahasa Malaysia yang ditulis oleh Fatin manakala susunan muzik oleh Sharon Paul.
"Sejujurnya semasa merakamkan 'Ayu' saya hanya mengambil masa dua jam untuk melengkapkan lagu tersebut kerana tidak beberapa sukar menyebut perkataan dalam Bahasa Malaysia kerana ia tidak banyak beza dengan Tagalog.
"Saya juga turut dibantu oleh seorang kenalan yang mahir dalam kedua-dua bahasa tersebut menjadikan rakaman itu berjalan lancar," ujarnya pada sidang media di Hard Rock Cafe di sini bagi mempromosikan single terbarunya itu, Isnin.
Pada majlis sama, Gary sempat mempersembahkan beberapa buah lagu termasuk ‘Ayu’.
Dalam pada itu, Gary yang telah terlibat dalam dunia nyanyian selama 28 tahun menganggap kehadirannya ke Malaysia sebagai satu rahmat dan berharap peminat di negara ini dapat menerimanya.
"Saya tidak rasa terlambat dan waktu ini adalah yang paling sesuai untuk saya melebarkan sayap ke negara ini," ujarnya yang berusia 47 tahun.
Berhasrat untuk bekerja dengan lebih banyak artis tempatan pada masa akan datang, Gary optimis kolaborasi antara kedua-dua negara akan memberikan manfaat kepada industri muzik.
"Saya ingin bekerja dengan lebih banyak artis di negara ini malah ingin membawa mereka ke negara saya supaya kita sama-sama boleh berkongsi muzik dan mengembangkan lagi industri serantau," ujarnya.
Bakal kembali ke Malaysia pada November depan untuk melancarkan album terbaru di sini, Gary juga bakal mengadakan dua konsert yang bakal dibawakan oleh DiGi Communication dengan kerjasama MUZIKON.
Konsert “Gary V Live in Malaysia 2011” itu bakal merangkumi dua persembahan di Hotel Horizon, Kota Kinabalu pada 12 November depan dan Wisma Fui Chiu, Kuala Lumpur sehari selepas itu.
Pengguna DiGi yang ingin memperoleh tiket percuma pada persembahan itu nanti perlu mendapatkan nilai tambah antara 26 September sehingga 13 November 2011.
Tiket-tiket boleh ditebus di kedai khusus DiGi bertempat di Low Yat Plaza dan Pusat DiGi di Api-Api 1Borneo di Kota Kinabalu.

Berat Badan Beego Turun Kerana 'Libas'




PETALING JAYA: Pelakon Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau lebih dikenali sebagai Beego terpaksa menurunkan berat badannya sebanyak tujuh kilogram semata-mata untuk berlakon dalam filem Libas.
Kata Beego, dia terpaksa mendapatkan berat yang sesuai dengan watak Megat yang dilakonkan dalam filem tersebut.
"Sebelum berlakon filem ini berat badan saya hampir 80 kilogram dan tidak sesuai dengan watak Megat yang diberikan kepada saya.
"Jadi pengarah, Jurey Latiff menasihatkan agar saya menurunkan berat badan sedikit supaya lebih kelihatan sebagai seorang atlet," katanya ketika ditemui selepas Pra tonton filem Libas, di sini, Rabu.
Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan untuk menurunkan berat badan dalam masa yang singkat sebelum penggambaran filem tersebut dimulakan.
"Pelbagai usaha saya buat untuk turunkan berat badan ini, Alhamdulillahlah saya dapat turunkan sebanyak tujuh kilogram dan hingga sekarang saya dapat kawal berat badan agar tidak seperti dulu," katanya.
Sementara itu, pelakon yang popular dengan sitkom “Puteri” ini berkata Libas, merupakan filem aksi pertamanya sejak bergelar pelakon.
"Saya sebelum ini selalu diberikan watak-watak komedi tapi kali ini saya bawa watak serius dan sedikit antagonis dan ia juga merupakan filem aksi pertama yang agak mencabar.
"Saya bangga dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Johan Raja Lawak, Corrie Lee dan Scha Alyahya," katanya.
Bercerita tentang pengalaman menjayakan filem tersebut, Beego berkata dia merupakan orang pertama yang tercedera sebelum Rosyam Nor.
"Saya dimasukkan ke hospital tiga hari sebelum Rosyam cedera, kedua-dua kaki tulang kaki saya retak dan tidak boleh berjalan," katanya.
Filem Libas arahan Jurey Latif ini bakal ditayangkan pada 29 September mengisahkan tentang perjuangan pemain-pemain sepak takraw Malaysia yang ingin merampas semula gelaran juara daripada Thailand.

Konsert Maher Zain Di Sarawak Dijangka Meriah



Maher Zain sudah dua kali mengadakan konsert di Malaysia.
PETALING JAYA: Penyanyi yang terkenal dengan lagu "InsyaAllah", Maher Zain,30, bakal mengadakan konsert sulungnya di Sarawak pada November depan.
Konsert yang diberi nama 'Maher Zain Live in Sarawak' itu dijangka bakal menarik minat penonton bukan sahaja dari negeri itu tetapi juga dari negara jiran seperti Brunei untuk berhibur bersama-sama pada konsert itu nanti.
Pernah mengadakan dua buah konsert di Kuala Lumpur sebelum ini, persembahan tersebut bakal diadakan di Stadium Perpaduan Kuching pada 19 November bermula pukul 8 malam.
Penyanyi kelahiran Lubnan itu sebelum ini mencatat sejarah apabila album “Thank You Allah” berjaya dijual sebanyak 120,000 unit di negara ini sekali gus melayakkannya menerima enam anugerah platinum atas kecemerlangannya itu.
Dia juga mempunyai lebih dua juta peminat di laman sosial Facebook sejak mula membuka akaun dua tahun lalu. Selain itu dia turut menjadi individu paling kerap mendapat perhatian melalui enjin carian Google Malaysia.
Dianjurkan oleh Marctensia Concerts, harga tiket yang dikenakan untuk konsert berkenaan ialah RM103, RM203 dan RM303.
Pembelian dalam talian diberi potongan sebanyak 10 peratus. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.ticketcharge.com.my atau menghubungi terus ke talian 03-9222 8811.

Lady Gaga Tampil Fesyen Topi Sarang Burung




PENYANYI sensasi Lady Gaga (gambar) belum berhenti untuk melakukan eksperimen dengan imejnya. Kali ini Gaga menggunakan sarang burung berukuran besar untuk dijadikan topi.
Dengan tutup kepala yang di bawahnya tertulis "F*** Fashion", Gaga sengaja menghadiri majlis 'New York Fashion Week'.
Menurut The Sun, Isnin, penyanyi yang lahir di New York itu akan tampil pada majlis 'Children Gary Barlow' di Manchester pada 17 November ini. Khabarnya, dia sudah merancang kostum yang akan dipakai nanti.
Sebelum ini, Gaga pernah menghadiri majlis 'Grammy Awards 2011' menggunakan sebiji replika telur raksasa yang diangkat oleh beberapa model lelaki saat melintasi karpet merah hingga ke pentas. Dia berbicara dengan Ryan Seacrest dari dalam telur tersebut.
Sementara pada majlis 'MTV Video Music Awards' itu, Gaga menggunakan daging mentah sebagai kostumnya. Dia sememangnya selesa menggunakan kostum-kostum unik.

J-Lo Kembali Aktif

SERONOK...teruja menjalani rakaman klip video Papi.

SERONOK...teruja menjalani rakaman klip video Papi.
BARU beberapa minggu saja berlalu sejak pengumuman mengejut mendedahkan mengenai perpisahan J-Lo dan suaminya, Marc Anthony.
Bagaimanapun, nampaknya penyanyi Get Right itu sudah kembali bekerja dengan semangat jitu, meraikan kebebasan baru yang dikecapi dengan menghasilkan klip video untuk single terbarunya Papi.
Penyanyi terbabit melakukan persembahan akrobatik, melompat di udara, memanjat di atas bahu beberapa penari lelaki ketika merakam klip video itu di Los Angeles.

Dalam satu babak, dia berdiri di atas tangan sekumpulan penari menunjukkan keberaniannya dan kepercayaan terhadap mereka.


Penyanyi berusia 42 tahun itu kelihatan jauh lebih muda berbanding usianya ketika dia duduk di atas bahu beberapa penari lelaki yang tampan.

Dengan memakai seluar pendek dan baju yang me�ndedahkan perut serta kulit perangnya, penyanyi itu berupaya menyanyi sambil menari dan tersenyum sepanjang rakaman video berjalan.

Dalam satu babak, Jennifer turut membalikkan tubuhnya dan berbaring di atas bahu seorang lagi penari lelaki.

Beberapa lagi penari dilihat membantu penyanyi berkenaan turun - yang pastinya sukar ekoran kasut tinggi yang dipakai Jennifer.

Pereka tari So You Think You Can Dance, Napoleon dan Tabitha D’Umo (atau lebih dikenali sebagai Nappytabs) turut membantu Jennifer ketika rakaman klip video berjalan.

Pasukan suami isteri terbabit diberi kepercayaan untuk mencipta rentak tarian hip-hop terbaru yang disebut ‘lyrical hip-hop’.

Papi adalah single lagu rancak yang pasti menarik peminat menari mengikut rentak iramanya: ‘Angkat tangan anda tinggi ke udara, menarilah untuk teman lelaki anda jika anda peduli.’

Jennifer yang berada dalam mood baik terus melakukan rutin kerja sebaik tiba ke lokasi penggambaran.

Untuk satu ketika, dia kelihatan agak menggelabah untuk beraksi, tetapi tidak lama kemudian dia dapat mengawal diri dan menampilkan semula kekuatan J-Lo yang biasa dilihat dalam kebanyakan klip videonya.

Antara babak lain dalam video itu termasuklah babak Jennifer berjalan menyeberang jalan, berdiri berhampiran gerai buah-buahan dan memandu kereta Fiat 500.

Ibu dua anak itu turut meluangkan masa ketika waktu rehat bersama dua anaknya, Emme dan Max yang nampak selesa di set penggambaran.

Jennifer juga memastikan dia sentiasa kelihatan cantik sepanjang penggambaran dengan menambah dandanan mekap serta membetulkan rambutnya.

Sebelum itu, dia dilihat berehat di set penggambaran dengan jubah mandi berwarna putih sebelum rakaman bermula.

Dia merasakan hari yang dilaluinya berjalan dengan lancar, memberitahu peminat mengenai perkembangannya di Twitter: “Hari pertama rakaman video terbaru saya...teruslah bersama saya”

Sementara itu, J-Lo yang mengakui dirinya seorang yang gila kerja turut terbabit dengan penggambaran filem terbaru, What To Expect When Your’re Expecting, filem komedi tentang ujian dan penderitaan dalam kehamilan yang dibintangi Cameron Diaz dan Matthew Morrison sebagai pelakon utama.