Saturday, 24 September 2011

Nana Bertudung Bukan Kerana Si Dia




Sudah lumrah menjadi anak seni, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Siti Nordiana. Sejak awal pembabitannya dalam industri nyanyian ini, banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi.

Kisah percintaan, perkahwinan hinggalah perceraiannya menjadi bualan ramai. Tidak pernah mengeluh apa lagi melarikan diri daripada kontroversi itu, penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini sentiasa belajar untuk memperbetulkan dirinya.

Dengan imej terbarunya, Nana dilihat lebih matang menyusuri kehidupannya. Sama seperti dua rakannya Irma Hasmie dan Raja Farah mengambil keputusan untuk bertudung, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran ini merasakan sudah tiba baginya melakukan sesuatu untuk dirinya.

Mengakui imej yang dilakukan mendapat perhatian ramai apabila kisah penghijrahannya semakin banyak tersiar di dada akhbar, Nana tidak dapat lari apabila ada pihak mendakwa perubahannya adalah kerana paksaan mahupun dorongan seseorang.

Semangat Nana untuk kekal bertudung nampaknya bertambah kuat walaupun sebelum itu dilemparkan dengan kontroversi pakaian seksinya.

“Perubahan ini bukan disebabkan orang lain. Saya ada dengar orang kata saya berubah kerana seorang lelaki yang baru saya kenal. Saya tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya ikhlas dengan perubahan saya ini. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa,” katanya kepada Zass.

Dengan nada kecewa, Nana berharap isu tudung ini tidak dipanjangkan. Tambahan pula, ia bukanlah perkara negatif malah berharap dia dapat sokongan daripada peminat dan akan terus berusaha untuk mengecap kejayaan dalam kerjaya seninya.


Keluarga beri sokongan

Tambahnya lagi, keluarga antara yang banyak memberi sokongan selepas penyanyi ini nekad untuk tampil dengan imej Muslimah.

“Saya bersyukur kerana saya dikelilingi insan yang benar-benar memahami saya. Ibu dan keluarga lain turut membantu saya mencari pakaian Muslimah yang sesuai untuk saya.

“Maklum sahaja, saya masih baru dan perlu tunjuk ajar daripada mereka. Tidak bolehlah tangkap muat sahaja. Setiap penampilan saya perlulah dijaga.

Menurut penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, dia rasa seronok kerana mereka sekeluarga dapat berkongsi cita rasa tersendiri dan baru kini dia sedar bahawa perasaan berubah kerana keikhlasan hati itu lebih indah.

“Malah, saya juga bersyukur apabila perubahan imej ini mendapat respons baik daripada pihak pengurusan. Saya yakin karier saya tidak akan terganggu dengan perubahan ini,” katanya yang kini semakin tenang dan selesa dengan imej itu.

Tambahnya, penampilan barunya itu setakat ini tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti hariannya, malah semakin banyak menerima undangan persembahan .


Sedia menamatkan zaman solo 
Dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang usahawan, Nana tidak berselindung mengenai perkara itu, namun berharap cerita itu tidak terus disensasikan.

“Saya memang mengenali lelaki yang dimaksudkan. Kami sudah kenal hampir setahun. Pada awalnya, dia tidak tahu saya seorang penyanyi. Dia tahu kerjaya saya daripada kawan-kawan saya.

“Hubungan kami masih lagi di peringkat awal. Masih mengenali hati budi masing-masing dan belum ada bibit-bibit cinta seperti yang diperkatakan. Saya senang berkawan dengan dia. Namun, untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini, tidak ada lagi dalam diari hidup saya. Saya perlukan masa kerana saya ada anak yang perlu dibesarkan. Jadi keputusan untuk berkahwin perlu saya fikirkan semasak-masaknya,” katanya lagi.

Katanya, temannya lelakinya itu tidak pernah memaksanya untuk memakai tudung dan menerima dirinya seadanya.

“Saya tidak ada berbincang dengan sesiapa mengenai hal ini. Dia sendiri terkejut melihat perubahan saya, namun menerimanya dengan hati terbuka.

“Seperti saya katakan, perubahan ini datang daripada diri saya sendiri dan tidak perlu saya meminta pandangan orang lain apatah lagi ini perkara baik,” katanya.

Malah, ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, ini tidak menolak jika ditakdirkan mendirikan rumah tangga sekali lagi memandangkan semua itu adalah ketentuan.


Cuba bidang lain

Biarpun kasih sayangnya kuat pada bidang nyanyian, namun Nana akan mencuba cabang seni yang lain kerana baginya sebagai artis, tidak boleh berharap pada satu-satu bidang sahaja.

“Buat masa ini, syarikat rakaman saya iaitu FMC Music Sdn Bhd sedang mencari lagu baru yang sesuai dengan saya. Saya juga berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada semua peminat saya.

“Saya akan terus menyanyi kerana ia minat dan keutamaan saya. Tapi, jika ditakdirkan saya gagal dalam percubaan ini, saya tidak akan mengalah. Saya juga tidak menolak sekiranya tawaran sebagai pelakon diberikan kepada saya.

“Saya akui, saya masih baru dan tidak banyak pengalaman sebagai pelakon. Saya percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan, saya boleh jadi seorang pelakon yang baik,” katanya penuh yakin mengenai peminat sekarang semakin bijak dan bersikap terbuka serta boleh menerima artis bertudung.

Walaupun begitu, kerjayanya sebagai penyanyi masih berjalan seperti biasa. Buktinya, kini Nana sibuk dengan siri jelajah anjuran Fablous Global bermula Oktober ini.

No comments:

Post a Comment