Wednesday, 21 September 2011



Tidak hanya dikurniakan kecantikan semula jadi, malah dia juga punya bakat lakonan yang besar. Itulah personaliti pelakon Fouziah Gous.

Namanya semakin bersinar. Ditambah dengan lakonan berkesan menerusi drama Tahajjud Cinta, Fouziah berjaya membuatkan penonton drama itu terbuai dengan emosi dilakonkan. Air mata yang mengalir bagai tiada paksaan dan Fouziah berjaya sebagai Seri.

Jika di awal kemunculannya, banyak pihak seakan tidak percaya pada kebolehannya, apatah lagi muncul dengan watak pembantu rumah yang tiga suku menerusi drama komedi Nana Tanjung.

Dengan watak ‘gila-gila’ itu, Fouziah menerima tamparan hebat. Namun, tidak sekelumit pun kata-kata itu tertusuk di jiwanya.

“Sebagai pelakon baru ketika itu, saya bangga dengan diri saya kerana diberikan peranan begitu.

“Adakah ada pelakon lain yang boleh berbuat begitu? Sekurang-kurangnya itulah pengalaman pertama saya. Saya sentiasa belajar untuk memperbaiki setiap kelemahan lakonan saya.

“Apa sahaja watak diberikan, itulah tanggungjawab perlu digalas untuk menjadi seorang pelakon yang baik,” tuturnya lembut.

Bagi Fouziah, hidup sebagai anak seni perlu berani menghadapi pelbagai cabaran. Jika tidak berani, usahkan bertahan, mungkin dia sudah angkat kaki dan serik bergelar pelakon lagi.

“Jiwa dan hati kena kuat. Saya sentiasa berfikiran positif dan mengingatkan diri tidak ada perkara senang untuk dinikmati dalam dunia ini sekiranya lemah dan tidak ada kesabaran.

“Paling penting, jangan mudah termakan segala pujian kerana ia boleh memakan diri,” katanya.



Jadi kesayangan penerbit

Sejak awal hingga kini, pelbagai watak telah dibawanya seperti gadis kampung dan watak sedih.

Itulah kekuatan terlihat pada pelakon drama Trilogi Cinta ini. Fouziah antara pelakon dikatakan senang bekerjasama dan tidak pernah menimbulkan masalah. Kerana itu, Fouziah menjadi kesayangan penerbit dan pengarah.

“Alhamdulillah jika ada mengatakan begitu. Saya memang akan memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja.

“Saya suka jika setiap kesalahan ditegur. Daripada situlah saya menimba pengetahuan dan membetulkan diri,” katanya.

Jarang sekali Fouziah membawakan watak jahat. Namun, tawaran datang padanya beberapa bulan lalu, terus digenggam kerana dia yakin boleh menunjukkan lagi sisi lakonannya.

“Saya menerima tawaran untuk berlakon drama Senyawa. Memegang watak Mastura, saya cuba menjadi lain daripada watak biasa yang pernah saya bawa.

“Watak ini memberi peluang saya menjadi wanita jahat dan psiko.

“Tidak mudah untuk saya menjadi Mastura kerana banyak bermain dengan emosi dan lantang berkata. Harap-harap usaha saya menjadi,” katanya yang akan memulakan sesi penggambaran tidak lama lagi.



Masih mencari cinta!

Keakraban Fouziah dengan pelakon Iqram Dinzly sering disalah anggap sesetengah pihak. Persahabatan yang terjalin hampir lima tahun itu, sering dikatakan punya bibit cinta.

Sedangkan empunya diri sudah mematerikan tiada cinta tersulam, yang ada hanya ketulusan dalam berkawan.

“Sebenarnya saya sudah jelak, apabila ada pihak menabur fitnah terhadap persahabatan kami. Saya minta sangat agar kenyataan saya ini dapat mengubah segala-galanya.

“Saya memang sayang pada Iqram, begitu juga dia. Tapi, hubungan kami tidak lebih daripada sahabat.

“Dalam bidang seni, Iqram adalah kawan paling rapat. Dia begitu memahami dan keluarga kami, saling mengenali. Kami boleh kongsi apa sahaja cerita bersama dan harapnya kisah percintaan kami tidak lagi menjadi bualan,” katanya.

Menginjak usia 30 tahun pada tahun hadapan, Fouziah mengakui debaran melangkah ke angka tiga itu. Jika ada kenalannya yang sudah mendirikan rumah tangga dan bahagia di samping suami, Fouziah juga mahukan seperti itu.

Namun, dirinya masih tercari-cari cinta sejati.

“Aduh... cinta oh cinta. Siapa tak mahukan. Cuma saya seorang yang sangat teliti dalam situasi ini.

“Mungkin saya akan dikatakan kolot kerana terlalu memilih, namun kebahagiaan yang saya cari harus begini.

“Saya ada ramai kawan tapi, yang benar-benar menambat hati, masih tak ada.

“Cuma, pada saat ini, saya sedang mengenali seseorang dengan lebih rapat dan ia belum lagi dipanggil cinta, hanya berkenalan dan mengenali sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment