Saturday, 26 May 2012

Misha Omar Tangguh Perkahwinan

Nampaknya Misha Omar terpaksa bersabar sedikit sahaja lagi untuk sah bergelar isteri kepada Firos selepas majlis perkahwinan mereka terpaksa ditangguhkan. Bukan kerana ada keretakan perhubungan, tetapi kerana Misha ingin memberi peluang kepada Firos untuk menumpukan kerjayanya sebagai juruterbang MAS. Memang beruntung Firos mendapat tunang yang begitu memahami seperti Misha ini.




misha omar

Kata orang, jodoh maut di tangan Tuhan. Kalau dah tertulis jodoh Misha sememangnya dengan Firos, pasti suatu hari nanti akan bertaut jua. Buat masa ini, izinkan Abang Nara melahirkan rasa kagum kepada Misha yang sanggup bertolak ansur demi kerjaya bakal suaminya. Iyerlah, Misha pun bukannya muda sangat. Lagipun orang kata tak manis bertunang lama sangat kerana takut dugaan yang menimpa.
Apa-apa pun, sama-sama kita doakan agar pertunangan Misha ini akan sampai ke jinjang pelamin selepas segalanya selesai. Amin

Saturday, 24 September 2011

Linda Berbasikal Untuk Kesihatan


Linda memberi aksi menarik sebelum mengayuh basikal.

BEGITU berhati-hati sekali pelakon Linda Hashim mengeluarkan basikalnya dari kereta dan kemudian memasang tayar sebelum memulakan kayuhan di sekitar Tasik Titiwangsa untuk sesi foto S3, baru-baru ini.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 27, berkata, sudah lama dia tidak berbasikal kerana sibuk di lokasi, namun atas permintaan S3, pelakon utama drama bersiri Tudung Ekspress itu sanggup turun padang.
“Dulu Linda memang aktif berbasikal dengan kawan-kawan dari kumpulan berbasikal. Sekarang ini, Linda berbasikal di sekitar kawasan rumah sahaja sebab kesuntukan masa.
“Walaupun sibuk, Linda perlu berbasikal untuk satu atau dua jam kerana ia salah satu cara untuk mengeluarkan peluh,” katanya yang mula jatuh hati dengan sukan berbasikal sejak dua tahun lalu.
Menurut Linda, pada mulanya, dia hanya ikut rakan-rakannya berbasikal dan tidak sangka sukan itu menarik minatnya dan terus membeli basikal mountain bike.
Menariknya kata anak kedua daripada tiga beradik itu, pertama kali dia mengikut rakan-rakannya berbasikal secara berkumpulan di Putrajaya pada waktu malam.
“Linda memang teruja bila berada bersama kumpulan basikal yang terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang tanpa mengira bangsa. Semua yang berkumpul itu tidak mengenali antara satu sama lain, hanya diberitahu menerusi laman web.
“Pertama kali ikuti rombongan berbasikal sejauh 25 kilometer itu, memang penat tapi seronok. Aktiviti itu bukan sahaja baik untuk kesihatan malah ia mengajar kita untuk bekerjasama dan bersabar. Sekarang ini nak sertai aktiviti yang dilakukan sebulan sekali pun susah sebab Linda sibuk,” katanya.
Penggemar pakaian jenama Fox itu berkata, sewaktu aktif berbasikal dia dapat merasakan perubahan pada lengannya yang kelihatan berotot.
Dek penangan sukan berbasikal, sekarang ini jika ternampak kedai menjual basikal, Linda pasti singgah untuk melihat produk terbaru.
“Sekarang ini, Linda sibuk menjalani penggambaran drama Cut Amirah sebanyak 26 episod, terbitan Media Corp dan AMC. Penggambaran dilakukan di Singapura.
“Jadi sesekali bila ada waktu lapang, Linda akan menjenguk ke kedai basikal di sana. Linda boleh habiskan masa satu atau dua jam di kedai itu sebab teruja tengok aksesori basikal. Basikal yang Linda guna ini pun sudah diubahsuai. Macam orang ubahsuai motosikal atau kereta,” terangnya.
Pemegang watak Toh Puan Norashikin Mohd. Seth dalam filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, sejak sibuk dengan penggambaran drama dan
filem, dia amat merindui basikal jenama Jammis yang sudah lama dibiar tersadai di rumah.

Teman Baru Izzue Islam


ANTARA aksi Izzue Islam bermain skuter.

Pada pandangan orang dewasa, mungkin permainan beroda ini agak asing, namun bagi remaja moden kini, skuter mula menggamit minat ramai untuk memilikinya.
Bagi pengacara, pelakon dan penyanyi ini, skuter adalah 'teman' baru yang sentiasa menemaninya tatkala mempunyai aktiviti lapang.
"Skuter ini bukanlah milik saya tetapi dipinjam daripada kawan saya yang memperkenalkan permainan ini kepada saya.
"Pada mulanya, saya hanya memerhatikan sepupu bermain skuter. Lama-kelamaan, saya rasa teruja lalu meminta kebenaran untuk mencubanya.
"Setelah mencubanya beberapa kali, timbul perasaan seronok bermainnya dan berhasrat untuk membelinya tidak lama lagi.
"Buat masa ini, saya sibuk dengan penggambaran drama Cikaro, Amanah Tuan Besar dan persembahan nyanyian dengan kumpulan Forteen.
"Jadi, belum ada masa lagi untuk pergi mencari dan membelinya," kata Izzue yang popular menerusi lagu Berdua Bersatu, nyanyian bersama kumpulan Forteen.
Tambah Izzue, permainan skuter itu bertambah seronok jika bermain secara berkumpulan kerana lebih happening.
"Apabila ada beberapa pemain lain, kita boleh bersaing sesama sendiri dan boleh mempertingkatkan kemahiran masing-masing untuk mengendalikan skuter ini.
"Bermacam-macam skil boleh dipraktikkan dan semua skil-skil itu saya belajar sendiri," katanya.
Pada masa yang sama, Izzue yang juga artis naungan KRU Studios itu kini mengorak langkah untuk mencuba bidang pengacaraan apabila sedikit demi sedikit menimba pengalaman menerusi program Paparazzi yang disiarkan di TV online, KRU TV.

Wanita Mualaf Ubah Nana


NANA harap perubahannya membawa kebaikan pada diri.

KALAU wanita mualaf boleh berubah dan memakai pakaian menutup aurat, kenapa tidak dirinya yang sememangnya dilahirkan sebagai Islam sejak 28 tahun lalu.
Itulah persoalan yang bermain di minda penyanyi Siti Nordiana Alias ketika membaca artikel berkaitan Islam dalam sebuah majalah pada bulan puasa yang lalu.
Sejak itulah, Siti Nordiana atau Nana tergerak hati untuk mengubah penampilan dirinya menjadi wanita muslimah dengan mengenakan tudung dan mengelak daripada berpakaian seksi.
“Selama ini Nana leka dan tidak mempraktik cara pemakaian wanita Muslimah yang sebenar. Sepatutnya, sudah lama Nana berubah. Apa pun Nana bersyukur kerana Allah telah menggerakkan hati Nana ke arah yang lebih baik.
“Apa yang Nana lakukan ini bukan dipinta oleh sesiapa atau ingin meniru sesiapa, tapi semua atas kehendak diri sendiri. Nana ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri sendiri,” katanya terus terang.
Sebelum mendengar penjelasan Nana yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk kesihatan di Shah Alam baru-baru ini, S3 tertanya-tanya adakah penampilannya begitu hanya untuk hari itu sahaja.
Bagaimanapun selepas mendengar penjelasan Nana, ternyata dia bukan main-main untuk berubah tapi hijrah yang dilakukan atas dasar kesedaran dan ikhlas kerana tuntutan agama.
“Bukan fesyen terkini daripada Nana atau pakaian rasmi untuk majlis ini. Ini akan menjadi pakaian rasmi Nana di masa akan datang kerana Nana sudah berubah. Sebenarnya sudah lama Nana berniat untuk memakai tudung, tapi baru-baru ini sahaja Nana mampu melakukannya,” katanya.
Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, biarpun cara pemakaiannya berubah namun dia tetap Siti Nordiana yang sama dan akan terus aktif menyanyi.
Menyedari perubahan imejnya bakal memberi impak pada kerjaya, Nana berkata, dia tidak akan beralih genre lagu mengikut penampilan diri tetapi meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu duet Paling Comel bersama arwah Achik Spin itu berkata, sejajar dengan perubahan imej, dia akan memastikan lagu-lagu dendangannya kelak bersesuaian dengan penampilan.
“Untuk tukar genre pop kepada nasyid tidaklah... tapi mungkin pihak rakaman ada perancangan baru. Apa pun Nana bersedia menerima sebarang perubahan, baik daripada pihak rakaman atau peminat.
“Apa pun Nana percaya, peminat sekarang lebih terbuka. Mereka meminati seseorang artis itu kerana bakat dan bukan kerana penampilan diri. Selagi Nana memberikan persembahan terbaik, Nana yakin akan mendapat sokongan daripada mereka,” katanya yang kelihatan anggun mengenakan busana Koleksi Najjah.
Nana yang sibuk mempromosi single kedua, Semakin Jelas berkata, jika perubahannya itu tidak membantu perkembangan kerjaya, dia reda dengan segala dugaan.
Selain itu, Nana juga berkata, dia sekarang dalam proses mendalami ilmu keagamaan untuk memperbaiki kekurangan diri.

Hugh Jackman Tetap Wolverine



Hugh Jackman


DIA sememangnya merupakan pilihan paling tepat dalam membawakan watak adi wira ciptaan Marvel Comics, Wolverine.
Sehingga kini, Hugh Jackman sudah empat kali membawakan watak tersebut dalam empat filem berbeza. Memang tidak dinafikan juga, watak itu jugalah yang telah melonjakkan namanya sebagai pelakon lelaki popular.
Namun, ada perkhabaran yang mengatakan bahawa Jackman tidak akan kembali memegang watak tersebut dalam filem sekuel X-Men Origins: Wolverine lantaran kesibukannya sebagai seorang aktor.
Sehinggakan, pihak penerbit iaitu 20th Century Fox sudah bersedia untuk mencari aktor lain bagi menggantikan tempat Jackman.
Semuanya gara-gara mereka sendiri sudah tidak boleh lagi untuk kerap menangguhkan projek filem tersebut dan menunggu tarikh baru daripada Jackman.
Tetapi, bagi Jackman, dia menafikan perkara tersebut dan memberitahu filem sekuel itu tetap akan dijalankan walaupun pengarahnya, Darren Aronofsky sudah menarik diri.
"Semuanya masih lagi berjalan dengan baik dan skripnya juga sudah hampir siap. Kalau ditanya kepada saya, memang saya tetap mahukan Aronofsky mengarahkan filem ini.
"Memandangkan dia sibuk dengan projek lain, maka mahu atau tidak filem sekuel ini akan tetap diteruskan dan penggambarannya dijangka pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.
"Apa yang boleh saya katakan, projek filem sekuel yang menggunakan judul sementara The Wolverine ini hanya akan dijalankan selepas saya menamatkan penggambaran filem terbaru saya, Les Miserables," kata Jackman dalam satu temu bual baru-baru ini.
Filem versi baru Les Miserables yang diarahkan oleh Tom Hopper itu menyaksikan Jackman berlakon di samping Russell Crowe.
Sementara itu, filem terbaru lakonannya, Real Steel akan ditayangkan tidak lama lagi.

Michelle Berangan Berhenti Berlakon




LOS ANGELES - Nama Michelle Williams (gambar) semakin meniti di bibir peminat-peminat industri hiburan atas kecemerlangannya, tetapi dia menyatakan lebih berminat untuk menjadi pencuci kain untuk meneruskan hidupnya satu hari nanti.
Dalam sesi temu bual bersama majalah Hobo baru-baru ini, pelakon filem My Week With Marilyn itu mengaku dia semakin penat dengan suasana Hollywood.
"Saya sering berangan untuk berhenti berlakon dan bekerja sebagai tukang cuci kain atau pembantu tukang masak, mahupun penulis surat cinta kepada orang lain untuk meneruskan hidup.
"Namun yang jelas, saya tidak suka menjadi ketua dan berfikir untuk berhenti berlakon hanyalah umpama menipu diri sendiri.
"Apabila kita merasakan kita ada pilihan, semuanya nampak seperti masih di bawah kawalan tetapi jika ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia menjadi serba tidak kena.
"Bagi saya, apabila kita semakin baik dalam sesuatu perkara, ia akan berlalu pergi dari hidup kita dan sebab itulah saya membayangkan saya ada pilihan lain," katanya.
Walaupun dalam realitinya, dia belum lagi merancang untuk meninggalkan dunia hiburan, namun Williams yang kini menjalani pengambaran filem Oz: The Great and Powerful bersama Mila Kunis berkata, dia bersedia menempuh cabaran seterusnya.

Nana Bertudung Bukan Kerana Si Dia




Sudah lumrah menjadi anak seni, apa sahaja yang dilakukan pastinya akan dinilai peminat. Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Siti Nordiana. Sejak awal pembabitannya dalam industri nyanyian ini, banyak cabaran dan dugaan yang ditempuhi.

Kisah percintaan, perkahwinan hinggalah perceraiannya menjadi bualan ramai. Tidak pernah mengeluh apa lagi melarikan diri daripada kontroversi itu, penyanyi yang mesra dengan panggilan Nana ini sentiasa belajar untuk memperbetulkan dirinya.

Dengan imej terbarunya, Nana dilihat lebih matang menyusuri kehidupannya. Sama seperti dua rakannya Irma Hasmie dan Raja Farah mengambil keputusan untuk bertudung, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran ini merasakan sudah tiba baginya melakukan sesuatu untuk dirinya.

Mengakui imej yang dilakukan mendapat perhatian ramai apabila kisah penghijrahannya semakin banyak tersiar di dada akhbar, Nana tidak dapat lari apabila ada pihak mendakwa perubahannya adalah kerana paksaan mahupun dorongan seseorang.

Semangat Nana untuk kekal bertudung nampaknya bertambah kuat walaupun sebelum itu dilemparkan dengan kontroversi pakaian seksinya.

“Perubahan ini bukan disebabkan orang lain. Saya ada dengar orang kata saya berubah kerana seorang lelaki yang baru saya kenal. Saya tak tahu macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya ikhlas dengan perubahan saya ini. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa,” katanya kepada Zass.

Dengan nada kecewa, Nana berharap isu tudung ini tidak dipanjangkan. Tambahan pula, ia bukanlah perkara negatif malah berharap dia dapat sokongan daripada peminat dan akan terus berusaha untuk mengecap kejayaan dalam kerjaya seninya.


Keluarga beri sokongan

Tambahnya lagi, keluarga antara yang banyak memberi sokongan selepas penyanyi ini nekad untuk tampil dengan imej Muslimah.

“Saya bersyukur kerana saya dikelilingi insan yang benar-benar memahami saya. Ibu dan keluarga lain turut membantu saya mencari pakaian Muslimah yang sesuai untuk saya.

“Maklum sahaja, saya masih baru dan perlu tunjuk ajar daripada mereka. Tidak bolehlah tangkap muat sahaja. Setiap penampilan saya perlulah dijaga.

Menurut penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, dia rasa seronok kerana mereka sekeluarga dapat berkongsi cita rasa tersendiri dan baru kini dia sedar bahawa perasaan berubah kerana keikhlasan hati itu lebih indah.

“Malah, saya juga bersyukur apabila perubahan imej ini mendapat respons baik daripada pihak pengurusan. Saya yakin karier saya tidak akan terganggu dengan perubahan ini,” katanya yang kini semakin tenang dan selesa dengan imej itu.

Tambahnya, penampilan barunya itu setakat ini tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti hariannya, malah semakin banyak menerima undangan persembahan .


Sedia menamatkan zaman solo 
Dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan seorang usahawan, Nana tidak berselindung mengenai perkara itu, namun berharap cerita itu tidak terus disensasikan.

“Saya memang mengenali lelaki yang dimaksudkan. Kami sudah kenal hampir setahun. Pada awalnya, dia tidak tahu saya seorang penyanyi. Dia tahu kerjaya saya daripada kawan-kawan saya.

“Hubungan kami masih lagi di peringkat awal. Masih mengenali hati budi masing-masing dan belum ada bibit-bibit cinta seperti yang diperkatakan. Saya senang berkawan dengan dia. Namun, untuk berkahwin dalam tempoh terdekat ini, tidak ada lagi dalam diari hidup saya. Saya perlukan masa kerana saya ada anak yang perlu dibesarkan. Jadi keputusan untuk berkahwin perlu saya fikirkan semasak-masaknya,” katanya lagi.

Katanya, temannya lelakinya itu tidak pernah memaksanya untuk memakai tudung dan menerima dirinya seadanya.

“Saya tidak ada berbincang dengan sesiapa mengenai hal ini. Dia sendiri terkejut melihat perubahan saya, namun menerimanya dengan hati terbuka.

“Seperti saya katakan, perubahan ini datang daripada diri saya sendiri dan tidak perlu saya meminta pandangan orang lain apatah lagi ini perkara baik,” katanya.

Malah, ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, ini tidak menolak jika ditakdirkan mendirikan rumah tangga sekali lagi memandangkan semua itu adalah ketentuan.


Cuba bidang lain

Biarpun kasih sayangnya kuat pada bidang nyanyian, namun Nana akan mencuba cabang seni yang lain kerana baginya sebagai artis, tidak boleh berharap pada satu-satu bidang sahaja.

“Buat masa ini, syarikat rakaman saya iaitu FMC Music Sdn Bhd sedang mencari lagu baru yang sesuai dengan saya. Saya juga berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada semua peminat saya.

“Saya akan terus menyanyi kerana ia minat dan keutamaan saya. Tapi, jika ditakdirkan saya gagal dalam percubaan ini, saya tidak akan mengalah. Saya juga tidak menolak sekiranya tawaran sebagai pelakon diberikan kepada saya.

“Saya akui, saya masih baru dan tidak banyak pengalaman sebagai pelakon. Saya percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan, saya boleh jadi seorang pelakon yang baik,” katanya penuh yakin mengenai peminat sekarang semakin bijak dan bersikap terbuka serta boleh menerima artis bertudung.

Walaupun begitu, kerjayanya sebagai penyanyi masih berjalan seperti biasa. Buktinya, kini Nana sibuk dengan siri jelajah anjuran Fablous Global bermula Oktober ini.