Bila masuk waktu malam semasa semua orang mula berkira-kira memasuki kamar tidur. Pernahkah kita terfikir pada waktu dinihari itu ada orang yang tidur di kaki lima beralaskan kotak atau surat khabar sebagai tilam?
Menyedari adanya golongan tidak bernasib baik yang tiada tempat berlindung di tengah kotaraya Kuala Lumpur ini, Perdasama dan beberapa artis tempatan menjayakan majlis Amal Raya 1 Malaysia pada malam menjelang sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.
Pengerusi Perdasama, Datuk Sohaimi Shahadan dan Setiausaha Politiik kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr. Junaidy Abd Wahab turut bersama-sama turun padang menjengah khabar insan tidak berumah di sekitar Masjid Jamek, Pasar Seni dan jalan sekitarnya yang menjadi tempat mereka berteduh.
Kesemua yang terlibat membawa bersama makanan berupa biskut, coklat, minuman dan sebagainya untuk diagihkan kepada mereka.
Mereka juga dibawa ke Pusat Belia Kuala Lumpur untuk menikmati jamuan Hari raya lewat malam. Mereka dibawa ke pusat itu menggunakan kereta Proton Saga sekumpulan anak muda yang menamakan mereka sebagai Prosboc.
Namun tak ramai yang sudi dibawa ke sana kerana mereka lebih selesa tidur kerana itulah masa untuk mereka berehat. Sebelah siangnya mereka tiada tempat untuk berehat. Mereka juga kelihatan takut seandainya ditahan selepas itu.
Tak kurang juga yang marah-marah apabila jurugambar merakam wajah mereka. Alasannya mereka bukanlah gelandangan sebaliknya hanya lepak sahaja di situ bersama kawan. Mereka takut anak-anak akan tahu yang mereka melepak dan tak pulang ke rumah apabila wajah dipaparkan dalam media.
Artis yang terlibat mengakui terasa insaf apabila melihat kebanyakan gelandangan yang ditemui rata-ratanya golongan warga tua malah ada yang kelihatan agak uzur. Ada yang semacam baru keluar daripada hospital dengan kesan pembedahan yang belum sembuh sepenuhnya.
"Saya sedih melihat nasib orang tua yang merempat ini. Saya tak pernah terfikir macam-macam orang ada di kaki lima ini," kata Shazroul yang sempat berbual dengan beberapa orang tua kurang bernasib baik itu.
Azlee Khairi pula tergerak untuk sama-sama menyertai aktiviti kerana mahu meringankan penderitaan orang yang kurang bernasib baik. Malah dia sering turun padang bersama sekumpulan rakan yang mempunyai kecenderungan yang sama.
No comments:
Post a Comment