DARI KIRI: Pengarah Urusan Nova, Rosmin, Bandi Amuk, Mus, Asheed, Pegawai Eksekutif Mustwin Venture Sdn. Bhd., Jeffry dan pengawal rancangan Muzik FM, Saiful Arini.
SELEPAS kejayaan konsert kumpulan rock legenda Lefthanded dan May serta Mega dan Fotograf, yang diadakan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur tidak lama dulu, kali ini Nova Music (M) Sdn Bhd dengan usahasama Mustwin Venture Sdn Bhd sekali lagi ingin mengulang sejarah rock tersebut.
Konsert Lagenda Rock bakal diadakan di Kompleks Sukan Tawau, Sabah yang menampilkan barisan-barisan artis rock legenda seperti Ella, Mus (May), Bandi (Amuk) dan Asheed (DEF-GAB-C) pada 1 Oktober ini.
Konsert itu dijangka akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat-peminat muzik rock yang berada bukan sahaja di kawasan Tawau, tetapi juga di bandar dan daerah berdekatan seperti Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan yang juga dapat menampung seramai 20,000 penonton sekali gus.
"Tawau dipilih sebagai lokasi pertama anjuran bersama kami ini kerana ia dikenal pasti mempunyai golongan peminat muzik rock yang cukup ramai. Kali terakhir konsert rock diadakan di sana telah menarik ramai penduduk di sekitar daerah Tawau yang membanjiri kompleks tersebut.
"Kedudukan Tawau yang agak terpencil membuatkan jarang konsert seperti ini diadakan. Jadi, penduduk Tawau dan sekitarnya sentiasa teruja untuk menyaksikan konsert-konsert artis terutamanya rock yang dijalankan di daerah mereka," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mustwin Venture Sdn Bhd, Datuk Mohd. Jeffry Rosman.
Tambahnya lagi, keputusan mengambil empat orang legenda rock, Ella, Mus, Bandi dan Asheed adalah daripada hasil kajian dan pemantauan yang dilakukan dan mendapati mereka amat popular di daerah tersebut.
Kemunculan ratu rock, Ella juga amat dinantikan penduduk Tawau kerana sebahagian besar peminat rock di sana belum berpeluang menyaksikan persembahan Ella secara dekat. Namun, peminat di sana masih teruja untuk menyaksikan konsert ini di dalam skala yang lebih besar.
DARI kiri: Bandi Amuk, Mus dan Asheed sudah bersedia untuk menggegarkan Tawau, Sabah pada 1 Oktober ini. |
Bagi Bandi, dia yakin konsert ini boleh menarik penonton yang ramai kerana sebelum ini juga mereka pernah membuat persembahan di sana dan ia berjaya menghimpunkan ramai orang. Apatah lagi kali ini empat legenda rock akan bergabung, pastinya lebih ramai.
"Saya dan Mus akan nyanyikan lagu duet kami yang berjudul Sendiri dan beberapa lagu lain kumpulan Amuk. Mengenai pemilihan lagu, jika diikutkan Bandi lebih gemar nyanyikan lagu yang popular dan penonton akan menyanyikan bersama. Itu lebih memberi kepuasan kepada kami mahupun penonton. Tapi ada juga lagu baru yang akan disampaikan," jelas vokalis kumpulan Amuk itu semasa sidang akhbar di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, bicara Mus dari kumpulan May, tidak banyak kelainan yang akan dibuat memandangkan mereka akan menyampaikan lagu yang biasa didengar peminat dan berkemungkinan kelainan yang akan terlihat ialah suasana dan pentas di sana.
"Namun, kami berjanji akan memberikan yang terbaik buat warga Sabah dan peminat yang menanti kehadiran kami. kami juga akan menyampaikan lagu yang biasa didengar dan sebanyak enam buah lagu yang akan dinyanyikan," jelas Mus yang juga mengatakan jika ada yang ingin menjemput kumpulan May untuk mengadakan konsert mereka tidak keberatan untuk terima.
Menurut Asheed dari kumpulan rock DEF-GEB-C pula memberitahu bahawa lagu yang akan disampaikan olehnya kelak merupakan lagu wajib yang digemari peminat seperti Cinta Sakti, Ibukota Cinta, Marilah Maria dan lain-lain lagi termasuk satu single terbaharu yang dilancarkan pada Ramadan lalu.
Tiket dijual pada harga RM20 seorang dan sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Eksekutif Promosi Kanan Nova Music, Rouslan Moktar di talian 012-2988446.
No comments:
Post a Comment